Penghormatan terakhir buat Lomu

Penghormatan terakhir buat Lomu

AUCKLAND, 1 Dis (AFP) – Selepas berkongsi kesedihan bersama seluruh dunia sejak dua minggu lalu, keluarga Jonah Lomu mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada legenda ragbi New Zealand itu pada satu majlis pengebumian tertutup, di sini, hari ini.

Majlis penghormatan terakhir buat bintang ragbi dunia itu diadakan di gereja Latter-day Saints di Mangere, bandar yang terletak di selatan bandar raya ini, lokasi Lomu membesar.

Isterinya, Nadene, diapit oleh anak lelakinya, Brayley, 6 dan Dhyreille, 5 mengetuai penghormatan terakhir itu.

Kedua-dua anak lelakinya mengenakan pakaian hitam bersama nombor 11 yang pernah dipakai bapa mereka yang muncul ikon ragbi pertama dunia.

Majlis yang dijalankan serba sederhana itu, hari ini berbeza dengan majlis penghormatan terakhir yang dibuat secara umum, 24 jam lebih awal di sesi peringatan di Eden Park yang dihadiri ribuan orang.

Pemain dan bekas pemain All Black mempersembahkan tarian Haka sebagai penghormatan terakhir buat Jonah Lomu. – Reuters
Pemain dan bekas pemain All Black mempersembahkan tarian Haka sebagai penghormatan terakhir buat Jonah Lomu. – Reuters

Selain itu, satu penghormatan turut dibuat komuniti Pacsifik bagi mengingati Lomu yang berketurunan Tongan, Sabtu lalu.

Begitupun, pada majlis hari ini, ia dikhaskan untuk keluarga terdekatnya untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Ia adalah penghujung kepada keraian yang hebat, tahap terakhir untuk perjalanan bagi Jonah dan keluarganya,” kata bekas jurulatih All Blacks, John Hart yang bertindak sebagai jurucakap keluarga itu sejak kematian mengejut Lomu pada 18 November lalu.

Sejak kematiannya, ribuan penghormatan diberikan orang ramai dari seluruh dunia termasuk dari luar komuniti sukan ragbi.

Antara yang turut memberikan ucapan takziah ialah Ratu Britain, Permaisuri Elizabeth II, legenda bola sepak England, David Beckham, bintang Hollywood, Morgan Freeman dan penyanyi Elton John.

ARTIKEL YANG SAMA