Penghormatan terakhir YAM Tunku Jalil

Penghormatan terakhir YAM Tunku Jalil

JOHOR BAHARU, 6 Dis – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berangkat ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor di Istana Besar Johor, Johor Darul Ta’zim.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Istana Besar Johor dijunjung oleh pembesar-pembesar Negeri Johor Darul Ta’zim.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung berangkat bersama-sama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk memberikan penghormatan terakhir dan seterusnya menunaikan solat Zohor dan solat Jenazah.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung untuk berangkat bagi menyertai perarakan mengiringi jenazah ke Makam Diraja Mahmoodiah dan Istiadat Pemakaman.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Timbalan Sultan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darus-salam berangkat menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor. - Gambar Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Timbalan Sultan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darus-salam berangkat menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir bagi Al-Marhum Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor. – Gambar Infofoto
DYTM DPMM berkenan berangkat ke Istiadat Pemakaman Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Tunku Laksmana Johor. DYTM DPMM berangkat tiba masuk ke dalam Makam Diraja
DYTM DPMM berkenan berangkat ke Istiadat Pemakaman Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Tunku Laksmana Johor. DYTM DPMM berangkat tiba masuk ke dalam Makam Diraja

Jenazah Al-Marhum Tunku Abdul Jalil selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada pukul 3:20 petang.

Menurut Bernama, Al-Marhum disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Al-Marhum Sultan Iskandar yang mangkat pada 22 Januari 2010 atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Istiadat pemakaman Al-Marhum diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja. Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada pukul 7:11 malam tadi di Hospital

Sultanah Aminah akibat kanser hati.

Al-Marhum merupakan putera keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah binti Al-Marhum Sultan Idris Shah.

Suasana pilu menyelubungi keluarga diraja Johor dan kesemua hadirin setibanya jenazah Al-Marhum di makam itu pada 1:50 tengah hari, yang sebelum itu diarak menggunakan pedati dengan diiringi Sultan Johor serta kedua-dua anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris.

Terdahulu, jenazah Al-Marhum diarak menggunakan pedati yang diarak 30 Askar Timbalan Setia Negeri Johor sejauh tiga kilometer bermula dariIstana Besar melalui pintu gerbang masuk ke Jalan Ayer Molek terus ke makam diraja itu.

Sesampainya jenazah, Tunku Ismail dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman mengusung keranda jenazah bersama beberapa anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor kira-kira 50 meter ke makam.

Hujan lebat yang bermula sebaik sahaja istiadat pemakaman Al-Marhum bermula namun tidak menghalang ratusan rakyat Johor yang berada di luar makam terus kekal dan tidak berganjak dari tempat masing-masing demi kasih dan sayang mereka untuk putera raja berhati rakyat itu.

Semasa talkin dibacakan, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut, Tunku Ismail yang duduk di sebelah kanan Sultan Ibrahim, kelihatan memegang tangan ayahandanya sambil menahan sebak.

Sultan Johor dan Permaisuri Johor juga kelihatan sebak sepanjang istiadat pemakaman. Turut berkenan berangkat ke istiadat pemakaman dan menyiram air bunga di makam Tunku Laksamana Johor ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Mengiringi keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA