Penghuni bandar hidu udara kualiti rendah

Penghuni bandar hidu udara kualiti rendah

GENEVA, 12 Mei (AFP) – Lebih 80 peratus daripada penghuni bandar di dunia menyedut udara kualiti rendah, sekali gus menambah risiko mereka untuk menghidapi kanser paru-paru dan penyakit lain, laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan hari ini.

Penduduk bandar di negara miskin adalah paling teruk terjejas, kata WHO, mendapati hampir setiap bandar (98 peratus) di negara berpendapatan rendah dan pertengahan mempunyai udara yang gagal memenuhi standard badan PBB.

Jumlah tersebut merosot kepada 56 peratus daripada bandar di negara lebih kaya.

“Pencemaran udara bandar terus meningkat pada kadar membimbangkan, mengucar-ngacirkan kesihatan manusia,” kata Maria Neira, ketua jabatan kesihatan awam dan alam sekitar WHO, dalam satu kenyataan.

Pangkalan data pencemaran udara terbaru agensi PBB mendedahkan kemerosotan keseluruhan udara di bandar dunia, dan memaparkan risiko keadaan kesihatan serius yang semakin meningkat juga termasuk strok dan penyakit lelah.

Laporan itu, yang menumpu pada udara luar dan bukannya dalam rumah, membandingkan data yang dikumpul daripada 795 bandar di 67 negara di antara 2008 dan 2013.

Menjejaki tersebarnya bahan pencemaran yang mendatangkan keburukan seperti sulfat dan karbon hitam, WHO mendapati kualiti udara pada amnya meningkat di rantau lebih kaya seperti Eropah dan Amerika Utara, tetapi bertambah teruk di rantau membangun, terutamanya Timur Tengah dan Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA