Penghuni gua Bamiyan diarah keluar

Penghuni gua Bamiyan diarah keluar

BAMIYAN – Marzia dan suaminya, Qadeer, merasakan diri mereka bernasib baik apabila mereka berpindah ke sebuah gua Buddha berusia 1,700 tahun di sebuah gunung di kawasan tinggi tengah Afghanistan, ia bersih dan kering, panas ketika musim sejuk dan sejuk ketika musim panas, dan terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan di ladang setempat. Tetapi kini, kehidupan seperti ini pun berada dalam ancaman.

Keluarga tersebut, bersama dengan 242 isi keluarga lain yang tinggal di gua tersebut, mungkin dipaksa berpindah keluar. Mereka adalah yang masih tertinggal daripada 10,000 buah keluarga yang telah dipindahkan dalam tempoh sedekad lalu sebagai sebahagian daripada program kerajaan setempat untuk melindungi gua unik itu, yang diharap akan mengubah Bamiyan menjadi destinasi pelancongan global setelah peperangan Afghanistan dengan Taliban berakhir.

Pasangan itu berpindah ke gua itu dari kejiranan Maidan-Wardak kerana mereka percaya bahawa ia adalah batu loncatan bagi masa depan yang lebih cerah.

“Kami tidak mempunyai wang dan suami saya belum mendapat pekerjaan,” kata Marzia sambil menyusukan anaknya.

“Kami pergi kerana kami miskin.”

Pemandangan menyeluruh gua Bamiyan yang menjadi tempat tinggal sejumlah 200 lebih buah keluarga. – AP
Pemandangan menyeluruh gua Bamiyan yang menjadi tempat tinggal sejumlah 200 lebih buah keluarga. – AP
Kelihatan dua orang kanak-kanak berada di luar pintu masuk rumah gua mereka. – AP
Kelihatan dua orang kanak-kanak berada di luar pintu masuk rumah gua mereka. – AP

Tetapi 12 tahun kemudian, mereka masih tinggal di gua itu, bersama dengan lima orang anak mereka yang berusia dari 10 bulan hingga lapan tahun.

Mana-mana ciri asli gua itu adalah seperi mural-mural geometrik berwarna-warni yang dilukis oleh sami-sami yang mencipta gua itu, pada zaman dahulu.

“Kehidupan di sini sangat sukar,” kata Marzia, 30. Air perlu diambil dari sebuah anak sungai berdekatan, dan bateri 9 volt yang dicaj oleh sebuah panel solar yang memberikan cahaya pada waktu malam. Memasak dilakukan dengan menggunakan tambak yang dijana daripada botol gas. Mereka juga telah memasang pintu dan tangga ke sebuah bilik di mana kesemua tujuh ahli keluarga itu berkongsi. Gua yang lebih kecil digunakan sebagai tempat penyimpanan.

Di kawasan pinggir bandar tersebut, di tengah-tengah ladang di mana tanaman ubi kentang merupakan tanaman utama kawasan itu, para penghuni gua sedaya upaya mengerjakan sumber rezeki mereka, berazam generasi seterusnya mendapat kehidupan yang lebih baik.

Freshta Ahmadi mengendalikan sebuah sekolah bagi seramai 25 orang kanak-kanak yang berusia empat hingga sembilan tahun, yang berkumpul di sebuah ruang tamu di rumah gua keluarganya enam hari seminggu untuk membaca, menulis dan matematik. Freshta, 18, berada di dalam tahun akhir sekolah menengah dan berharap suatu hari nanti menjadi seorang doktor. Beliau sudah mengendalikan gua sekolah itu sejak 2012 dengan wang yang didermakan oleh Parsa, sebuah badan amal Afghanistan.

Tapak warisan dunia

“Kanak-kanak ini berasal dari keluarga-keluarga miskin, bapa-bapa mereka sama ada petani, pelarian atau pekerja pendatang dari kawasan yang lebih miskin,” katanya.

Kelihatan kanak-kanak menghadiri kelas sekolah gua. – AP
Kelihatan kanak-kanak menghadiri kelas sekolah gua. – AP
Marzia bersama anak-anaknya ketika ditemu ramah. – AP
Marzia bersama anak-anaknya ketika ditemu ramah. – AP

Namun keadaan mereka itu tidak mematahkan cita-cita, kanak-kanak di sekolah itu, sebahagian besarnya perempuan, berdiri bergilir-gilir ke papan putih, menyiapkan beberapa kerja latihan di depan rakan sekelas mereka, kemudian mengulang rancangan-rancangan masa depan mereka untuk menjadi doktor, pegawai polis atau jurutera.

Bamiyan mungkin lebih dikenali sebagai tapak bagi dua Buddha, satu setinggai 55 meter, dan yang satu lagi 38 meter tinggi, yang diukir pada permukaan cenuram di atas bandar moden antara abad ke-4 dan ke-6, dan yang mana telah dimusnahkan oleh Taliban ketiga Al-Qaeda mula naik pada awal tahun 2001.

UNESCO mengklasifikasikan landskap dan arkeologi budaya peninggalan Lembah Bamiyan itu sebagai tapak warisan dunia mewakili agama Islam dan Buddha, dan perkembangan kesenian dari abad pertama hingga abad ke-13.

Kerajaan wilayah bekerjasama dengan UNESCO untuk menghidupkan semula tapak-tapak di kawasan itu. Dengan azam mengadakan sedozen acara antarabangsa setahun, menurut ketua pejabat setempat bagi kementerian Maklumat dan Budaya, Kabir Dadras, termasuk maraton, kejohanan ski dan pelbagai festival kebudayaan.

Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, kesemua mereka yang masih tinggal di gua tersebut dilayakkan bagi program pengagihan semula tanah kerajaan, akan dipindahkan ke kawasan baru di pinggir bandar tersebut menjelang 2018.

Bagi Marzia, semuanya hanya kata-kata tetapi tidak ada tindakan.

“Saya telah bercakap dengan gabenor dan ramai pegawai sudah datang ke sini berjumpa dengan kami. Mereka hanya berjanji bahawa mereka akan memberikan kami sebuah flat, tetapi kami tidak tahu bila ia akan berlaku atau adakah ia benar-benar berlaku.” – AP