Penghuni penjara beraya bersama keluarga

Penghuni penjara beraya bersama keluarga

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, penghuni di ketiga-tiga institusi penjara meliputi Institusi Penjara Wanita, Institusi Penjara Jerudong dan Institusi Penjara Maraburong, diberi peluang untuk beraya bersama keluarga menerusi Lawatan Khas yang diadakan selama seminggu.

Lawatan khas yang merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Penjara itu bermula 28 Julai lalu hingga 3 Ogos ini, dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk sebelah pagi dan sebelah petang bermula dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Melalui lawatan hari raya ini mereka diberi peluang untuk menerima lawatan secara terbuka daripada keluarga.

Dalam lawatan khas itu, para penghuni diberi tempoh 45 minit untuk bersama keluarga bagi mengeratkan ukhuwah sesama ahli dengan memohon maaf dan juga membina perhubungan yang mesra, di samping berpeluang untuk menikmati juadah hari raya yang dibawa ahli keluarga masing-masing.

Para penghuni diberi peluang untuk bertemu dengan keluarga secara terbuka.
Para penghuni diberi peluang untuk bertemu dengan keluarga secara terbuka.

Selain Lawatan Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, para penghuni turut diberi peluang meraikan kedatangan 1 Syawal dengan Sembahyang Sunat Hari Raya berjemaah, di samping menghantar kad-kad hari raya kepada kaum keluarga dan sahabat handai, selain itu Jabatan Penjara turut mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya di institusi masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA