Penghuni Rumah Orang-Orang Tua diceriakan

Penghuni Rumah Orang-Orang Tua diceriakan

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 31 Jan – Rombongan Persatuan Usia Panjang Kekal merupakan antara pengunjung Rumah Orang-orang Tua di sini, hari ini, untuk menceriakan lagi para penghuni rumah tersebut bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016 yang akan menjelang tidak lama lagi.

Mengetuai rombongan, Pengerusi persatuan, Awang Chua Teng Thiam memberitahu Media Permata, sejak lebih empat dekad, sejak tahun 1972 persatuan itu ditubuhkan, aktiviti mengunjungi Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria adalah salah satu aktiviti tahunan mereka.

Menurutnya, kunjungan mereka, selain bertujuan untuk menghulurkan sedikit sumbangan berbentuk Ang Pau dan barangan keperluan asasi, lebih penting lagi adalah ingin menggembirakan kalangan warga emas yang tinggal di rumah tersebut yang tidak mempunyai keluarga terdekat untuk mereka menumpang kasih dan sayang.

“Dengan kunjungan berbagai-bagai pihak terdiri daripada persatuan-persatuan, orang-orang persendirian, badan-badan bukan kerajaan dan sebagainya termasuk di kalangan pelajar-pelajar, mengunjungi rumah orang tua-tua ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan rasa sunyi dan sedih tanpa ahli keluarga terdekat di sisi mereka,” kata Awang Chua Teng Thiam.

Rombongan Persatuan Usia Panjang Kekal bergambar ramai bersama penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria.
Rombongan Persatuan Usia Panjang Kekal bergambar ramai bersama penghuni-penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria.

Persatuan tersebut, yang ditubuhkan antaranya untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan terutama perkhidmatan kepada warga emas, pada masa ini telah mempunyai hampir 200 orang ahli dari keempat-empat daerah.

Semasa kunjungan berkenaan, rombongan persatuan turut menghulurkan sumbangan derma sejumlah $300 untuk keperluan Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria yang disampaikan oleh Awang Chua Teng Thiam kepada Ketua Sukarelawan Rumah Orang-orang Tua Seria, Dayang Anna Chua.

ARTIKEL YANG SAMA