Penghuni Rumah Orang-orang Tua, Seria diceriakan

Penghuni Rumah Orang-orang Tua, Seria diceriakan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Jan – Serombongan lebih 20 orang ahli Persatuan Hokkien Brunei, telah menceriakan penghuni Rumah Orang-orang Tua di pekan ini, hari ini, melalui kunjungan mereka bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016 yang bakal menjelang awal bulan depan.

Ketua Komiti Belia, Persatuan Hokkien Brunei, Awang Chua Peng Kiat, memberitahu Media Permata, kunjungan seperti itu merupakan aktiviti tahunan persatuan sejak ditubuhkan pada tahun 2000 di negara ini.

Antara tujuan aktiviti itu adalah bagi membantu menggembirakan penghuni di rumah orang-orang tua tersebut untuk dapat bersama-sama merasakan kegembiraan sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun, memandangkan mereka merupakan penghuni yang tiada keluarga terdekat di sini.

Di samping kunjungan, rombongan juga telah melakukan inisiatif mengadakan persembahan nyanyian lagu-lagu klasik dalam Bahasa Cina dan juga tarian selain menyediakan makan tengah hari bagi penghuni di sana. Dalam kunjungan itu, ahli-ahli komiti turut menyampaikan sumbangan cenderahati berupa Ang Pau dan barangan keperluan kepada para penghuni.

Rombongan Komiti Belia Persatuan Hokkien Brunei bergambar ramai bersama penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria semasa mengadakan kunjungan tersebut.
Rombongan Komiti Belia Persatuan Hokkien Brunei bergambar ramai bersama penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria semasa mengadakan kunjungan tersebut.

Komiti Belia Persatuan Hokkien telah dibentuk pada tahun 2001 dengan tujuan memberikan sokongan dan kerjasama kepada persatuan tersebut, selain memperkenalkan budaya dan tradisi Hokkien kepada generasi muda supaya tidak hilang ditelan zaman, serta untuk menyuntik semangat belia-belia Hokkien supaya sentiasa menghormati, budaya dan tradisi mereka yang telah dibudayakan dari zaman ke zaman.

Komiti itu juga sering mengadakan aktiviti-aktiviti lainnya, termasuk derma darah, sambutan hari-hari perayaan Cina dan sebagainya, di samping mengadakan Majlis Anugerah kepada pelajar-pelajar Hokkien yang cemerlang dalam pembelajaran dengan menyumbangkan hadiah berbentuk Ang Pau mengikut keputusan yang diperolehi pelajar berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA