Pengibaran bendera berakhir

Pengibaran bendera berakhir

Oleh Sim Y. H., Normazlina M.D & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan kira-kira sebulan, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang juga Pengerusi Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Baginda Sultan ke-69, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, ketua-ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), para penghulu mukim dan ketua kampung Daerah Brunei dan Muara, pegawai kanan dan kakitangan KHEDN serta pertubuhan beruniform dan swasta.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan seramai 69 orang pembawa bendera bergerak masuk yang terdiri daripada anggota Jabatan Penjara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Kemudian diteruskan dengan pasukan pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam menyempurnakan upacara penurunan bendera besar negara.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam menyempurnakan upacara penurunan bendera besar negara.
Kumpulan koir ketika menyanyikan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan.
Kumpulan koir ketika menyanyikan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan.

Sebelum upacara penurunan bendera besar dimulakan, lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, telah dinyanyikan oleh gabungan kumpulan koir dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat diiringi oleh pasukan pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

Majlis diteruskan dengan upacara penurunan bendera besar yang kemudiannya diserahkan oleh ketua perbarisan anggota Tentera Laut Diraja Brunei kepada Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi.

Doa selamat bagi penutup upacara berkenaan telah dibacakan oleh Awang Faizal bin Rosli @ Janif.

Upacara Penurunan Bendera Besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera yang bermula dari 1 Ogos yang lalu bagi semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69.

Dengan penurunan bendera besar itu, orang ramai adalah dikehendaki serta memastikan untuk menurunkan dengan sempurna bendera masing-masing termasuk di rumah-rumah kediaman, bangunan kerajaan dan swasta, serta di premis-premis perniagaan.

Haji Adanan ketika menerima bendera daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.
Haji Adanan ketika menerima bendera daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Sementara itu, di Daerah Tutong, upacara penurunan bendera juga telah diadakan di kawasan lapang Dewan Kemasyarakatan Tutong, yang dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 bagi Daerah Tutong serta para pegawai kerajaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat sebelum diteruskan dengan upacara menurunkan bendera oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dengan iringan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dan kemudian bendera negara diserahkan kepada tetamu kehormat majlis.

Awang Amir Hairil ketika menerima bendera daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Awang Amir Hairil ketika menerima bendera daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Upacara seumpamanya juga telah diadakan di kawasan lapang Dermaga Pekan Bangar, Daerah Temburong dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Turut hadir ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 bagi Daerah Temburong. Upacara menurunkan bendera telah disempurnakan oleh 10 orang anggota dan seorang pegawai polis dari Daerah Polis Temburong sebelum diserahkan kepada tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA