Pengiktirafan 48 pelajar

Pengiktirafan 48 pelajar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Seramai 48 pelajar Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan buat julung-julung kalinya bagi peserta kelas berkenaan, yang berlangsung di masjid tersebut, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat serta dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah dan anggota keluarga peserta khatam serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis diikuti selepas itu bacaan surah-surah oleh peserta khatam dan seterusnya bacaan Takhtim yang dipimpin oleh tenaga pengajar Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan jemputan khas Muslimah Balai Ibadat Kampung Saba.

Sementara itu, bacaan doa Khatam telah dipimpin oleh Awang Muhammad Raziq bin Zaki dan Dikir Marhaban beramai-ramai pula dilaungkan oleh Kumpulan Dikir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Awang Muhammad Rafi’uddin bin Haji Ramli.

Antara pelajar yang mengikuti Majlis Khatam Al-Quran tersebut.
Antara pelajar yang mengikuti Majlis Khatam Al-Quran tersebut.

Majlis ini akan diadakan setiap tahun sebagai projek tahunan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dengan tujuan sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada para pelajar kerana berjaya menamatkan bacaan mereka dan sebagai ganjaran kerana ketekunan mereka dalam mengikuti kelas Al-Quran dan Muqaddam.

Selain daripada itu, menurut pihak penganjur, ia juga merupakan platform untuk menggalakkan dan pencetus semangat kepada para pelajar lain untuk terus belajar dan mengikuti kelas Al-Quran dan Muqaddam.

Diharap dengan adanya majlis seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dalam pembacaan dan penghayatan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Ia juga dihasratkan akan dapat sama-sama menyemarakkan lagi syiar Islam di Negara Brunei Darussalam dan mudah-mudahan akan mendapat keredaan daripada Allah SWT.