Pengiktirafan paling bermakna

Pengiktirafan paling bermakna

Oleh Syahmi Hassan & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 tahun merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada para penerima di atas sumbangan dan jasa baik mereka kepada pembangunan negara ini.

Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, yang menerima pengurniaan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T.) dengan membawa gelaran Dato Paduka Seri, menyatakan bahawa pengurniaan ini merupakan satu penghormatan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bukan sahaja bagi diri beliau sendiri malah kepada Pasukan Polis Diraja Brunei.

Dengan pengurniaan ini, beliau menyuarakan keinginan untuk memajukan diri dengan lebih baik bagi beliau dan juga pasukan Polis Diraja Brunei dan berharap agar dapat berkhidmat membawa pasukan polis maju ke hadapan lagi di samping bersikap dengan lebih aktif dan profesional.

Ketika ditemui Media Permata selepas istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran berkenaan, beliau juara menyuarakan harapan agar mendapat kepercayaan masyarakat Brunei sepenuhnya kerana ia akan membantu pasukan polis untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik.

“Saya ingin menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan bintang kebesaran hari ini dan mengucapkan Selamat Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun dan semoga kekal karar memerintah di atas singgahsana kerajaan.”

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy.

Turut menerima bintang kebesaran ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin yang turut melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (P.S.N.B.) yang membawa gelaran Dato Seri Setia.

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pengurniaan ini adalah sesuatu yang amat dihargai dan berharap agar dengan pengurniaan ini, sebagai Menteri Pembangunan akan dapat memajukan lagi negara dengan kepelbagaian pembangunan projek-projek yang diadakan pada masa akan datang.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.
Datin Paduka Dr. Hajah Masnon.
Datin Paduka Dr. Hajah Masnon.

Perasaan sama disuarakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong yang dikurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (P.S.N.B.) yang membawa gelaran Dato Seri Setia.

Beliau berkata, dengan pengurniaan ini dapatlah menyuntik semangat kepadanya dan kementeriannya untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini negara yang makmur, maju, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menjunjung kasih dan menyembahkan selamat menyambut Hari Keputeraan ke-70 tahun kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mudah-mudahan dikurniakan umur yang panjang oleh Allah S.W.T, sentiasa dalam keadaan sihat wal’afiat serta sentiasa dalam peliharaan Allah S.W.T.

Awangku Muhd Adibul Amin dan Dayang Hajah Nurfaezah.
Awangku Muhd Adibul Amin dan Dayang Hajah Nurfaezah.

Sementara itu penerima belia, Awangku Muhd Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki yang telah dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Ketiga (S.S.U.B.) menyatakan bahawa beliau memang tidak menyangka akan dikurniakan bintang kebesaran berkenaan.

Beliau juga menyeru para belia yang lain agar sentiasa untuk tidak berputus asa, sentiasa tidak selalu berada di zon selesa walaupun tinggi macam mana tahap pencapaian mereka dan sentiasa menimba ilmu pengetahuan dan amalkan bacaan Al-Quran setiap hari.