Pengiktirafan Serantau

Pengiktirafan Serantau

Oleh Rafidah Jumat

MANILA, 24 Jan – Pengiktirafan dua buah inap desa atau homestay dari Brunei Darussalam pada Majlis Penutupan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2016 perlu dilihat sebagai satu peluang kepada pemilik inap desa yang lain.

“Ini merupakan kali pertama Brunei menerima anugerah itu di mana Seri Tanjung Homestay di Sungai Bunga dan Lubok Mas Homestay, Temburong telah dianugerahkan ‘ASEAN Homestay Standards Awards’ semasa ATF di Filipina.

“Anugerah itu juga akan ‘membuka mata’ pemilik inap desa yang lain untuk melihatnya sebagai peluang yang bukan hanya mendapat pengiktirafan di Brunei dan serantau tetapi juga dalam ASEAN,” kata Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selepas ATF melabuhkan tirainya.

Inap desa boleh dilihat sebagai satu pemangkin dalam menjana pendapatan menerusi tarikan cara hidup tradisional, warisan dan alam semula jadi.

Sementara itu, Pegawai Tugas-tugas Khas di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Zulzalani Osman telah memaklumkan mengenai projek terbaru mereka untuk menswastakan taman dan pantai di Brunei.

Pihaknya telah pun mempelawa sektor swasta untuk menjalankan, mengendali dan menguruskan taman dan pantai termasuk memuatkan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai lagi pelancong luar dan juga tempatan.