Pengiktirafan tinggi S&P

Pengiktirafan tinggi S&P

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN,

30 Okt – Agensi piawaian kredit terbesar dan terkemuka dunia, Standard and Poor (S&P) telah menganugerahkan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pengkadaran A- (Stabil) atas komitmen kewangannya, menjadikan bank itu institusi kewangan paling selamat dan mendapat kadar tertinggi di Brunei Darussalam.

Dalam sidang media yang berlangsung di Royal Brunei Polo Club, Jerudong hari ini, Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad melahirkan rasa bangga dan berbesar hati menerima pengkadaran kukuh daripada S&P.

“Pengkadaran ini meletakkan kami di kadar tertinggi dan bank paling selamat di Brunei selain mengiktiraf keupayaan, dedikasi dan fundamental asas kami yang kukuh membolehkan kami untuk menjadi institusi kewangan terkemuka Brunei, selain pemacu pasaran.

Menurut beliau lagi, “Antara faktor yang membuat BIBD mendapat pengkadaran A- ialah modal yang kukuh, profil kecairan tunai yang mantap, pembiayaan rendah berbanding kadar simpanan dan keupayaan pembiayaan yang teguh.”

Javed Ahmad bersama Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini semasa sidang media itu, kelmarin.
Javed Ahmad bersama Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini semasa sidang media itu, kelmarin.

“Kami berjaya mengekalkan kualiti aset yang mapan ini kerana amalan prinsip mengimbangi pengurusan risiko dengan peluang pertumbuhan, menjadikan BIBD sebuah bank yang berdaya saing dan progresif.”

Beliau turut melahirkan hasrat untuk mengukuhkan lagi keyakinan pelanggan terhadap BIBD dengan menyediakan produk dan perkhidmatan inovatif dan bertaraf dunia.

Menurutnya lagi, dengan pengkadaran S&P itu, BIBD menjangkakan kedudukannya akan terus kukuh sekali gus menjadi sebuah daripada bank terbaik di rantau ASEAN dan mempertingkatkan lagi kedudukannya sebagai institusi kewangan terkemuka di Brunei, sejajar dengan bank-bank yang dikadarkan tinggi kedudukan di ASEAN dalam teknologi, jenis-jenis produk dan perkhidmatan pelanggan.

ARTIKEL YANG SAMA