Pengiktirafan yang amat bermakna

Pengiktirafan yang amat bermakna

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Pengurniaan Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kerana ia merupakan satu penghargaan di atas pengorbanan serta khidmat bakti yang diberikan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Salah seorang penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K), Hajah Asiah binti Haji Abdul Latif, 80, yang ditemui semasa pada hari kedua pengurniaan bintang-bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan, di Istana Nurul Iman, hari ini berkata bahawa dengan pengurniaan P.J.K, ia memberikan keyakinan dan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau yang sebelumnya bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah di Daerah Tutong, Belait dan Brunei-Muara menambah, walaupun beliau sudah bersara, penerimaan P.J.K itu merupakan satu penghargaan yang menjadi bukti kepada penerima atas jasa bakti mereka kepada raja, kerajaan dan tugasan yang telah diamanahkan.

Perasaan sama dikongsi oleh Haji Mohd Daud bin Haji Abu Bakar, 82, yang telah bersara selama 27 tahun setelah menyumbangkan bakti selama 39 tahun sebagai guru besar.

“Saya sudah bersara selama 27 tahun dan Alhamdulillah, hari ini menerima Pingat Jasa Kebaktian di atas sumbangan saya kepada negara,” ujarnya sambil memberi saranan kepada guru-guru masa ini untuk menjadi seorang cemerlang, harus berdedikasi kepada tugas yang diberikan dan memberikan pendidikan terbaik kepada penuntut-penuntut mereka.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, semalam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, semalam.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan pingat kepada salah seorang penerima.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan pingat kepada salah seorang penerima.

pg03_160510_c

Beliau turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan pengurniaan P.J.K yang amat bermakna bagi dirinya itu.

Rata-rata penerima pingat yang ditemui turut melahirkan perasaan gembira atas pengurniaan pingat berkenaan.

Pengiran Hajah Ratna Sari binti Pengiran Dato Haji Hamzad yang dikurniakan Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B.) menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut beliau, yang bertugas selama 27 tahun di Jabatan Oftalmologi, Kementerian Kesihatan, apa yang penting didalam sesebuah pekerjaan adalah keikhlasan, kejujuran dan membuat pekerjaan dengan baik terutama apa yang diamanahkan.

Perasaan gembira turut disuarakan oleh salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertugas di cawangan Tumasek, Awang Abu Bakar bin Haji Ali Ahmad.

Awang Abu Bakar selaku penerima P.I.K.B turut berkongsi pengalaman sepanjang perkhidmatannya selama 32 tahun.

Kiri ke kanan: Hajah Asiah dan Pengiran Hajah Ratna Sari.
Kiri ke kanan: Hajah Asiah dan Pengiran Hajah Ratna Sari.
Haji Kifli dan Haji Amdan.
Haji Kifli dan Haji Amdan.
Kiri ke kanan: Haji Mohd Daud dan Awang Abu Bakar.
Kiri ke kanan: Haji Mohd Daud dan Awang Abu Bakar.
Para penerima bergambar dengan pingat mereka.
Para penerima bergambar dengan pingat mereka.

“Bertugas sebagai anggota beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat bukannya mudah. Ianya mempunyai pelbagai usaha gigih seperti memadamkan kebakaran dan menyelamatkan nyawa dan harta benda yang menurut beliau juga tugas yang membantu dan berbakti kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kepada anak muda supaya tegas berdisiplin dalam sesebuah organisasi, dan tidak memilih pekerjaan kerana pada masa ini pekerjaan menjadi satu isu di negara ini.

Awang Abu Bakar mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas pengurniaan P.I.K.B ini.

Dua lagi penerima yang ditemui ialah Haji Kifli bin Haji Mohd Zain dan Haji Amdan bin Haji Musa yang sebelumnya pernah menerima P.I.K.B dan Pingat Kerja Lama (P.K.L) semasa berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat 1, kini menerima P.J.K.

Haji Amdan menyuarakan penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan atas pengurniaan pingat berkenaan kerana ia mengingatkan kita akan kecemerlangan, dan menambah, beliau tidak lupa pengalaman manis sepanjang berkhidmat selama 34 tahun demi negara dan amanah yang diberikan.

Memandangkan isu pekerjaan, beliau juga memberi saranan kepada anak muda negara supaya menerima apa jua pekerjaan yang ditawarkan tidak kira di bidang kerajaan atau swasta.

Haji Kifli turut menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan di atas pengurniaan pingat berkenaan yang menurutnya merupakan satu penyuntik semangat baginya untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik.

ARTIKEL YANG SAMA