Pengilang tempatan digesa selami kepakaran syarikat berteknologi tinggi

Pengilang tempatan digesa selami kepakaran syarikat berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) – Para pengilang tempatan digesa mempelajari teknologi baharu daripada negara pasaran besar seperti Jerman serta firma berteknologi tinggi lain bagi memperolehi kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata ini penting bagi membantu mereka berdepan era revolusi perindustrian keempat serta cabaran pada masa depan.

Beliau turut mengingatkan pengeluar tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar peka kepada perubahan teknologi dengan menjalin kerjasama dengan rakan global bagi menyokong serta membina ekosistem industri.

“Kita (Malaysia) hanya mempunyai seramai 30 juta penduduk dan mustahil teknologi berkelas dunia ini dikuasai dalam masa semalaman.

“Oleh itu kita perlu bekerjasama dengan penggiat global dan mendalami teknologi seperti 3D dan 4D (tiga dan empat dimensi) yang turut memastikan kemasukan pelaburan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat dan bilik pameran Rehau Malaysia, di sini, hari ini.

Datuk Seri Ong Ka Chuan (tengah) bersama (dari kiri) Pengurus Negara Ketua Rehau Malaysia & Singapura, Steven Gan, Ketua Eksekutif Rehau, Damian Kirby, Pengarah REHAU Asia Tenggara, Stefano Mattioli dan Kenneth Koh , Rehau Ketua Kewangan, Asia Facific semasa pelancaran pejabat dan bilik pameran Rehau Malaysia semalam. – Bernama
Datuk Seri Ong Ka Chuan (tengah) bersama (dari kiri) Pengurus Negara Ketua Rehau Malaysia & Singapura, Steven Gan, Ketua Eksekutif Rehau, Damian Kirby, Pengarah REHAU Asia Tenggara, Stefano Mattioli dan Kenneth Koh , Rehau Ketua Kewangan, Asia Facific semasa pelancaran pejabat dan bilik pameran Rehau Malaysia semalam. – Bernama

Rehau yang ditubuhkan pada 1948, adalah firma Jerman dan merupakan pakar polimer serta penggiat antarabangsa dalam industri pembinaan dan automotif dengan operasinya di lebih 170 lokasi global serta menggaji 20,000 pekerja.

Mengulas lanjut, Ong menyifatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti ASEAN dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) juga penting bagi memastikan daya saing dan pertumbuhan semua industri menerusi pergerakan barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang lebih bebas.

“Tahun lepas kita menandatangani FTA dengan Turki dan setakat suku pertama tahun ini, perdagangan kita dengan Turki melonjaksebanyak 123 peratus,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ong berkata pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan sejumlah 224 projek serantau dan global pada 2015 yang membabitkan perbelanjaan perniagaan lebih RM8 bilion serta mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA