Penginap hotel ditawarkan promosi istimewa

Penginap hotel ditawarkan promosi istimewa

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 Jun – Bersempena bulan Ramadan tahun ini, Hotel Garden Sentral Kuala Belait menawarkan promosi istimewa Ramadan bagi semua penginap-penginap di hotel tersebut bermula kelmarin.

Pengurus Am Pusat Membeli-Belah KBSentral, Dayang Abby Lim, dalam temu bual media berkata hotel berkenaan menawarkan promosi sungkai dengan menyajikan kombinasi makanan barat, Melayu, Cina dan Jepun, daripada restoran-restoran seperti Pastamania, All Season, Waroeng Penyet dan Sushi Tei.

Selain itu, promosi sahur pula disajikan oleh kedai Delifrance untuk dua orang bagi mana-mana pengunjung yang menginap di hotel tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan bahawa sejak pelancaran hotel tersebut terdapat peningkatan yang memberangsangkan dari segi jumlah penginap hotel.

Ini terutamanya pengunjung-pengunjung yang datang dari daerah lain dan juga dari Miri, Sarawak, Malaysia, seperti peniaga-peniaga yang berkunjung ke Kuala Belait.

Beliau menaruh harapan untuk meningkatkan lagi peratusan penginapan pengunjung ke hotel berkenaan dengan memfokuskan kepada pasaran korporat, terutamanya dalam industri minyak dan gas.

“Kebanyakan pelanggan-pelanggan kami ketika ini adalah daripada subkontraktor serta syarikat-syarikat di bawah industri tersebut, yang menginap di Serviced Apartment kami bagi jangka masa tertentu sekitar enam bulan ke setahun, hotel ini amat strategik kerana ia sangat berdekatan dengan Pusat Membeli-Belah KBSentral dan tidak jauh perjalanan ke Pekan Belait,” jelas beliau lagi.

Hotel Garden Sentral kini mempunyai kelengkapan kemudahan seperti gimnasium, kolam renang dan perkhidmatan Internet.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut mengenai promosi serta bilik-bilik yang disediakan boleh menghubungi talian 3338333.

ARTIKEL YANG SAMA