Pengintip M16 undur dari ‘negara musuh’

Pengintip M16 undur dari ‘negara musuh’

LONDON, 14 Jun (Reuters) – Britain sudah pun mengarahkan para ejennya keluar daripada melaksanakan operasi secara langsung di “negara-negara musuh” selepas Rusia dan China mampu mendapatkan maklumat sulit yang terkandung di dalam fail yang dibocorkan oleh bekas kontraktor Agensi keselamatan kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat Edward Snowden, lapor akhbar Sunday Times.

Perkhidmatan keselamatan MI6, yang beroperasi di luar negara dan ditugaskan untuk mempertahankan kepentingan British, sudah pun memindahkan para ejennya dari beberapa negara, kata akhbar itu, dengan memetik pegawai-pegawai yang tidak dinamakan di pejabat Perdana Menteri British David Cameron, Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan perkhidmatan keselamatan.

Amerika Syarikat mahu Snowden supaya dibicarakan selepa beliau membocorkan pelbagai dokumen sulit, kemudian melarikan diri dari negara tersebut dan diberikan suaka di Moscow pada 2013.

Rusia dan China berupaya mendapatkan kandungan dokumen mengandungi maklumat terperinci teknik rahsia perisikan yang akan membolehkan para pengintip British dan Amerika Syarikat mudah dikenal pasti, kata akhbar itu yang memetik pegawai-pegawai.

Gambar fail menunjukkan pemandangan bahagian hadapan bangunan ibu pejabat MI6 di kota London. – Reuters
Gambar fail menunjukkan pemandangan bahagian hadapan bangunan ibu pejabat MI6 di kota London. – Reuters

Bagaimanapun seorang pegawai di pejabat Cameron dipetik sebagai berkata setakat ini “tiada bukti sesiapa pun yang menerima kesan buruknya.”

Jurucakap di pejabat Cameron pula enggan mengulas ketika dihubungi oleh Reuters dan wakil dari perkhidmatan perisikan British tidak memberikan respons kepada permintaan untuk mendapatkan ulasan.