Pengiran Bendahara kekal presiden NFABD

Pengiran Bendahara kekal presiden NFABD

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah telah dilantik semula sebagai Presiden NFABD 2015-2019 secara sebulat suara ketika berlangsungnya Kongres Biasa kali Kedua NFABD kelmarin.

Dalam kongres berkenaan, seramai 10 Jawatankuasa Eksekutif (Exco) NFABD telah turut dilantik, lima orang dengan sebulat suara kerana hanya setiap daripada mereka satu-satunya calon yang dicadangkan dalam jawatan terlibat manakala lima orang lagi menerusi undian biasa.

Ahli Exco yang dilantik secara sebulat suara ialah Awang Zulkifli bin Haji Duraman (Persatuan Pengadil Bola Sepak Negara Brunei Darussalam), Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim (Persatuan Bola Sepak Daerah Brunei & Muara), Morni bin Haji Zakaria (Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Belait), Awang Matussin bin Sumpong (Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong) dan Haji Miramit bin Haji Damit (Persatuan Bola Sepak Daerah Temburong).

Mereka yang dilantik secara undian biasa kesemuanya dari Persatuan Liga Daerah/Super iaitu Haji Mohd Noor bin Haji Hamid, Awang Bujang bin Haji Japar, Awang Ah Chua bin Bangau, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz dan Haji Madli bin Haji Md Yusof.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersama 10 Exco NFABD 2015-2019, Mun Si Song (duduk kiri), Datuk Azzuddin (duduk dua dari kanan) dan Haji Mohd Zamri (duduk, kanan).
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersama 10 Exco NFABD 2015-2019, Mun Si Song (duduk kiri), Datuk Azzuddin (duduk dua dari kanan) dan Haji Mohd Zamri (duduk, kanan).

Sementara jawatan Timbalan Presiden NFABD yang sebelum ini dijawat Yang Dimuliakan Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar masih kosong kerana tiada calon dicadangkan, maka NFABD akan membuka semula pencalonan dan pemilihan bagi jawatan itu yang akan dijalankan semasa Kongres Luar Biasa NFABD tahun depan pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Hadir selaku Pemerhati AFC dan AFF semasa Kongres di NFABD House berkenaan ialah Pengurus Negara Anggota AFC, Mun Si Song, Setiausaha Agung AFF, Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad. Semasa Kongres, tiga pindaan kepada Perlembagaan NFABD telah turut diluluskan.

Pindaan pertama adalah Perkara 24, Perenggan 2: ‘Keputusan yang memerlukan undian perlu dicapai dengan menunjukkan tangan atau dengan tata cara kiraan elektronik’ kini telah dipinda kepada ‘Keputusan yang memerlukan undian perlu dicapai dengan menunjukkan tangan atau mengangkat bendera hijau (setuju) atau bendera merah (tidak setuju) atau dengan tata cara kiraan elektronik’.

Pindaan Kedua ialah Perkara 68 berkaitan dengan Tempoh Kewangan iaitu ‘Tempoh kewangan NFABD adalah setahun, bermula pada 1 April dan berakhir pada 31 Mac’ telah dipinda kepada ‘Tempoh kewangan NFABD adalah setahun, bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember’.

Pindaan Ketiga merupakan tambahan kepada Perkara 41, berkaitan dengan Jawatankuasa Tetap Penubuhan Jawatankuasa Sekuriti dan Integriti iaitu jawatankuasa perlu menangani dengan strategi-strategi bertentangan penipuan perlawanan untuk melindungi integriti bola sepak. Jawatankuasa perlu mengeluarkan dan memantau pematuhan kepada Peraturan Keselamatan dan Sekuriti Stadium dan memantau perkembangan berkaitan dalam bidang sekuriti stadium.

ARTIKEL YANG SAMA