Pengiring PM disasar

GAZA, Palestin, 13 Mac – Satu letupan kuat telah menyasarkan kumpulan pengiring Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah ketika tiba di Semenanjung Gaza hari ini untuk lawatan yang julung-julung kalinya, menyebabkan tujuh orang mengalami cedera ringan, kata para pegawai dan saksi.

Hamdallah tidak cedera semasa letupan itu berlaku, sejurus selepas kumpulan pengiringnya memasuki wilayah yang dikendalikan oleh kumpulan gerakan Islam Hamas, menurut sumber keselamatan pengiring tersebut.

Ketua Perisikan Palestin, Majid Faraj adalah merupakan salah seorang daripada pengiring tersebut dan dia dikatakan tidak mengalami kecederaan, menurut sumber keselamatan itu.

Dalam pada itu, menurut kenyataan media Palestin, Presiden Mahmud Abbas menganggap kejadian itu sebagai ‘sasaran pengecut’ terhadap pengiring Hamdallah.

Belum ada kenyataan rasmi mengenai siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan itu. Namun, kumpulan pemberontak yang menentang Hamas sentiasa beroperasi di Semenanjung Gaza dan mereka selalunya menjadi dalang di sebalik rusuhan di sana.

Rami Hamdallah (dua, kanan) diiringi oleh anggota pengawal, disambut oleh pasukan polis gerakan Hamas ketika tiba di Bandar Gaza, kelmarin. – AFP

Kementerian Dalam Negeri Hamas mengesahkan berlakunya satu letupan dan berkata pasukan keselamatan sedang menyiasat kejadian itu.

Mereka mengatakan bahawa kejadian itu tidak akan menjejaskan lawatan Hamdallah, yang sedang membuat perjanjian perdamaian antara Hamas dan Kerajaan Palestin.

Dua puak Palestin utama menandatangani perjanjian perdamaian pada Oktober lalu ketika pihak pemberontak seharusnya menyerahkan tampuk kekuasaan mereka namun perjanjian itu musnah.

Hamdallah muncul di televisyen sejurus selepas letupan itu ketika dia hadir di majlis pembukaan sebuah kilang di wilayah itu. – AFP