Pengisian 4 jawatan ketua kampung giat dilaksanakan

Pengisian 4 jawatan ketua kampung giat dilaksanakan

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 2 Feb – Jabatan Daerah Belait kini sedang giat berusaha mencari orang untuk mengisi empat jawatan ketua kampung yang baru diluluskan sejak tahun lepas bagi Skim Perumahan Kebangsaan di RPN Panaga, Lorong Tengah dan Lumut dan juga seorang ketua kampung kedua untuk Kampung Mumong B dengan mengiklankan jawatan berkenaan melalui Pelita Brunei.

Menurut kenyataan Jabatan Daerah Belait, ini adalah sebahagian daripada inisiatif pengezonan semula di bawah Skim Perkhidmatan untuk Penghulu dan Ketua Kampung 2013 yang diperkenalkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), bagi pembahagian penduduk kampung di daerah itu dan juga bagi skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) yang melebihi 3,000 penduduk setiap kampung.

Pada masa ini inisiatif tersebut hanya menerima lima orang pemohon, dan tiada seorang pun yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya berdasarkan skim baru dari KHEDN itu.

Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, ketika temu bual bersama media, berkata, “Jumlah kehadiran tidak menggalakkan, tetapi kami akan terus meletakkan iklan dan cuba cara-cara baru untuk menarik penduduk untuk memohon.”

Pengisian jawatan ketua kampung itu adalah sebahagian daripada inisiatif pengezonan semula di bawah Skim Perkhidmatan untuk Penghulu dan Ketua Kampung 2013 yang diperkenalkan oleh KHEDN.
Pengisian jawatan ketua kampung itu adalah sebahagian daripada inisiatif pengezonan semula di bawah Skim Perkhidmatan untuk Penghulu dan Ketua Kampung 2013 yang diperkenalkan oleh KHEDN.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, juga selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof ketika ditemui oleh media.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, juga selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof ketika ditemui oleh media.

Jabatan Daerah Belait, baru-baru ini, telah mengongsikan kepada pihak media bahawa RPN Panaga menerima tiga permohonan bagi jawatan itu, tetapi mereka sama ada tidak memenuhi syarat umur 45 hingga 55, atau tidak memenuhi syarat keperluan akademik baru sekurang-kurangnya dua kredit GCE ‘O’-level atau setaraf dengannya.

Sementara itu di RPN Lorong Tengah, dengan jumlah penduduk kira-kira 2,000 orang, tidak menerima sebarang permohonan, manakala itu, RPN Lumut dengan penduduk yang lebih besar sekitar 4,500 dan Kampung Mumong B hanya mempunyai seorang pemohon masing-masing.

Ketika ditemui, ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Mumong Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin mengalu-alukan berita tentang usaha skim pengezonan semula itu untuk mewujudkan Kampung Mumong B kerana beliau mempunyai pengawasan penduduk yang lebih besar.

Menurutnya, pengisian jawatan untuk ketua Kampung Mumong B itu akan meringankan beban beliau menguruskan pengedaran pencen yang biasanya mengambil masa satu atau dua hari untuk sebuah kampung yang mempunyai 3,000 orang, tetapi akan mengambil masa beberapa hari untuk kampung yang mempunyai lebih daripada 5,000 penduduk yang tinggal di dalamnya.

Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap juga mengalu-alukan berita itu dan bersetuju bahawa inisiatif ini pasti akan membantu untuk mengurangkan isu pengagihan pencen yang menjadi tajuk berita di media-media massa pada awal tahun lalu.

Pada masa ini beliau berkhidmat sebagai wakil untuk RPN Panaga, RPN Lorong Tengah dan Kampung Pekan Seria selain Mukim Seria.

ARTIKEL YANG SAMA