Pengislaman keluarga anggota polis dirai

Pengislaman keluarga anggota polis dirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Badan Ugama Islamnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Pengislaman Anggota-anggota Polis dan Keluarga Mereka di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Haji Mohd Noor dan datin yang turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru yang diraikan.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Penolong Pesuruhjaya Polis, Mohammad Irwan Haji Hambali.

Acara dimulakan dengan Sembahyang Sunnat Hajat berjemaah diteruskan dengan majlis pengislaman oleh pegawai-pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah.

Pada majlis itu, Christopher Likap telah melafazkan ikrar Dua Kalimah Syahadah bersama dengan isteri dan tiga orang anak beliau.

Ikrar Dua Kalimah Syahadah dilafazkan oleh saudara-saudara baru di majlis itu.
Ikrar Dua Kalimah Syahadah dilafazkan oleh saudara-saudara baru di majlis itu.

Christopher kini dikenali dengan nama Muhammad Jeffery Abdul Yaakub dan isterinya memilih nama Islamnya sebagai Nur Rihannah Johari, manakala itu, anak-anak mereka kini dikenali sebagai Nur Ufairah Herviellenah, Nur Raisyah Hervielyanah dan Muhammad Herris Iman.

Seorang lagi anggota polis yang melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis itu ialah Aznawali Gumpol dari cawangan Polis Daerah Tutong, yang telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Hana Humaira binti Abdullah Gumpol.

Turut diraikan dalam majlis itu ialah beberapa orang lagi anggota Polis Diraja Brunei yang telah memeluk agama Islam baru-baru ini.

Salah seorang daripada saudara baru berkenaan ialah Abdul Malik Haris bin Abdullah Jambai yang memeluk agama Islam bersama isteri dan lima orang anaknya pada 16 November lalu di Daerah Temburong.

Isteri beliau telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Marinah Liyani binti Abdullah Sandah, sementara anak beliau masing-masing memilih nama Islam mereka sebagai Nur Diyanah Azyan, Nur Syuhada, Muhammad Faiq Daniel, Muhammad Faiq Wafituddin dan Muhammad Faiq Asyraf.

Saudara-saudara baru berkenaan kemudian diraikan dengan laungan Dikir Marhaban dan acara menabur bunga rampai, diikuti dengan bacaan doa selamat dan diakhiri dengan Solat Fardu Asar berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA