Penglibatan belia penting dalam kemajuan kampung

Penglibatan belia penting dalam kemajuan kampung

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Mac – Para belia diseru untuk sama-sama melibatkan diri dalam apa jua bentuk aktiviti Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPM/MPK) dan memberikan pandangan serta cadangan yang boleh membawa kemajuan kepada mukim atau kampung mereka.

Seruan itu dibuat oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Yusof bin Haji Dulamin ketika melancarkan Program Belia Masjid RPN Kampung Pandan hari ini.

Menurut Yang Berhormat, belia merupakan aset penting bagi bangsa dan negara yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, dan untuk itu, mereka perlu menampilkan diri dengan rasa yakin, proaktif dan inovatif.

Seramai 40 orang kalangan belia dan beliawanis Daerah Belait terutamanya belia Masjid RPN Kampung Pandan menyertai Program Belia Masjid kali ketiga itu dan pada tahun ini, program itu dinamakan Program Aku Belia ‘Ohsem’ (awesome/hebat) dengan tema, “Our Youth, Our Future, Our Deen,’ yang akan berlangsung selama tiga hari dua malam dengan pelbagai pengisian aktiviti.

Ketua Belia Masjid iaitu Awang Ahmad Luqman bin Haji Mohammad dalam ucapan alu-aluanya mengatakan belia merupakan aset yang sangat perlu dijaga kerana mereka memainkan peranan besar sebagai pemimpin pada masa akan datang. Mereka ini perlu mengukuhkan akidah dan jati diri melalui pelbagai program kebeliaan masjid

Peserta Program Belia Masjid RPN Kampung Pandan semasa membaca ikrar beramai-ramai pada Majlis Pelancaran Program Aku Belia ‘Ohsem’ kelmarin.
Peserta Program Belia Masjid RPN Kampung Pandan semasa membaca ikrar beramai-ramai pada Majlis Pelancaran Program Aku Belia ‘Ohsem’ kelmarin.
Penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Haji Yusof.
Penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Haji Yusof.

Awang Ahmad Luqman dalam ucapan alu-aluannya berkata, menyedari bahawa remaja dan belia merupakan aset yang sangat perlu dijaga kerana mereka akan memainkan peranan yang sangat besar sebagai pemimpin di masa yang akan datang, maka adalah bijak jika berbagai program yang boleh mengukuhkan akidah dan jati diri belia terus diadakan.

Beliau berharap program kali ini juga akan melatih belia menjadi lebih matang, menambahkan keyakinan mereka serta meningkatkan motivasi diri untuk menjadi insan yang lebih mulia dan berwibawa.

Menurutnya, melalui program ini, belia diharap dapat mempraktikkan nilai hidup yang syumul.

Program itu diisikan dengan pelbagai aktiviti termasuklah ceramah keagamaan, motivasi, qiamulail dan pelbagai aktiviti membuka minda para pesertanya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, dan membaca ikrar beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Ahmad Luqman, kemudian menyaksikan tayangan video tentang aktiviti yang telah pernah dianjurkan oleh belia masjid tersebut dan seterusnya penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA