Penglibatan komuniti penting

Penglibatan komuniti penting

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melihat penglibatan aktif komuniti setempat sebagai amat penting dalam usahanya untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan lagi produk-produk pelancongan negara terutama Kampong Ayer, Bandar Seri Begawan dan Temburong serta kegiatan berkaitan pelancongan yang lain untuk menjadikan Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Usaha itu juga dapat memastikan khazanah dan kebudayaan tempatan dapat dipelihara sebagai produk pelancongan untuk menjana peluang pendapatan bagi usahawan kecil-kecilan dan mempromosikan kesedaran serta kefahaman mengenai pelbagai budaya.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN 2016 di Dewan Setia Pahlawan, kementerian berkenaan, hari ini.

Katanya, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah dan akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan keberkesanan promosi dan pemasaran serta juga penyebaran maklumat berhubungan perkhidmatan dan produk pelancongan.

Antara inisiatif yang dikenal pasti, ialah menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk media sosial.

Dalam hubungan itu, penggunaan platform media sosial oleh para peserta program itu untuk menyebarkan maklumat serta pengalaman mereka selama berada di Brunei menepati inisiatif tersebut.

Awang Wardi menyatakan harapan Inap Desa Seri Tanjung dan inap desa yang lain akan menggunakan peluang ini untuk membangunkan dan menjana idea-idea baru untuk meningkatkan lagi pengalaman para pelancong, merangka idea bagi kunjungan akan datang yang boleh memberikan sumbangan kepada komuniti setempat, menunjukkan amalan pengurusan yang baik serta mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau mendedahkan pada masa ini, Brunei mempunyai kira-kira 14 buah inap desa dan kementerian menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan sedang membantu pembangunan inap desa berkenaan supaya mereka dapat mencapai Standard Inap Desa ASEAN dan dapat dicalonkan bagi Anugerah Inap Desa ASEAN seperti yang dianugerahkan kepada Inap Desa Seri Tanjung di Daerah Brunei dan Muara dan Inap Desa Lubok Batu Mas di Daerah Temburong, tahun ini.

Beliau berharap usaha itu akan dapat mengukuhkan lagi industri inap desa negara pada masa akan datang.

Mengulas mengenai program itu, Awang Wardi menyatakan harapan supaya para peserta program dapat mempromosikan lagi kefahaman dan perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama yang lain serta boleh mendalami lagi kerjasama yang boleh menyumbang kepada pembangunan budaya dan alam sekitar mapan bagi komuniti setempat.

ARTIKEL YANG SAMA