Penglibatan M’sia dalam CPA diiktiraf

Penglibatan M’sia dalam CPA diiktiraf

KOTA KINABALU, 30 April – Penglibatan Malaysia dalam Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) diiktiraf dalam kalangan negara anggota berikutan komitmen tinggi yang diberikan negara ini dalam persatuan berkenaan.

Ini dapat dilihat menerusi pelantikan anggota parlimen Malaysia menganggotai jawatan eksekutif persatuan itu bagi jawatan pengerusi dan naib pengerusi.

Sehubungan itu, Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang kini merupakan Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu menyifatkan Malaysia telah memainkan peranan yang ketara dalam CPA.

“Kita berpuas hati dengan pembabitan dalam CPA melalui penglibatan anggota parlimen Malaysia sebagai wakil Asia Tenggara.

“Penglibatan Malaysia dalam CPA ada sejarah yang ketara hingga dilantik menjadi pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Eksekutif,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau menghadiri mesyuarat pertengahan tahun Jawatankuasa Eksekutif yang berlangsung sejak dua hari lepas dan berakhir hari ini, dengan majlis penutupan disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pernah menjawat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif CPA dari 2008 hingga 2011. Bagi Malaysia, katanya CPA adalah sebuah pertubuhan negara bekas Komanwel yang mempunyai satu misi untuk melihat negara Komanwel mengamalkan sistem kerajaan demokrasi dan beretika baik.

Justeru, beliau berkata dalam aktiviti CPA, banyak menganjurkan seminar dan bengkel ke arah mematangkan kerajaan yang beretika baik.

Ronald berkata pengiktirafan Malaysia dalam CPA adalah antara faktor kepada pelaksanaan mesyuarat pertengahan Jawatankuasa Eksekutif itu tahun ini, diadakan di Sabah.

Beliau berkata menerusi mesyuarat itu yang dihadiri semua anggota Jawatankuasa Eksekutif CPA termasuk pengerusinya Shirin Sharmin Chaudhury dari Bangladesh, beberapa keputusan melibatkan program yang akan dilaksanakan oleh persatuan itu sepanjang tahun ini dirangka untuk dilaksanakan.

Katanya mereka berpuas hati dengan penganjuran mesyuarat itu yang dihoskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah dan kagum dengan keindahan alam semula jadi negeri ini. –Bernama