Penglibatan penduduk bantu kurangi kadar jenayah

Penglibatan penduduk bantu kurangi kadar jenayah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 3 Nov – Seramai 20 orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kiudang telah menerima sijil lantikan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Balai Raya Padnunok, Kampung Lamunin, pagi tadi.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Penguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Adizimin bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin dan Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja.

Sementara itu, pada 29 Oktober yang lalu, seramai 12 orang ahli baru Pengawasan Kejiranan Kampung Layong turut menerima sijil lantikan mereka pada majlis yang berlangsung di Dewan Balai Raya Layong.

Majlis turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Lamunin, Haji Tujoh bin Talip, dan Ketua Kampung Layong, Haji Yakub bin Bakri.

Seramai 12 ahli baru Pengawasan Kejiranan Kampung Layong turut menerima surat lantikan pada 29 Oktober lalu.
Seramai 12 ahli baru Pengawasan Kejiranan Kampung Layong turut menerima surat lantikan pada 29 Oktober lalu.
Seramai 20 orang yang menerima surat pelantikan sebagai ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kiudang, kelmarin.
Seramai 20 orang yang menerima surat pelantikan sebagai ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kiudang, kelmarin.

Majlis penyampaian sijil berkenaan turut mendengarkan taklimat daripada Inspektor Adizimin mengenai kadar kes jenayah di kampung tersebut, yang menurutnya telah menurun berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, salah satu faktor penurunan kadar kes jenayah harta benda di Daerah Tutong disebabkan penglibatan penduduk kampung dalam pengawasan kejiranan bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan di kampung masing-masing dan juga kesedaran masyarakat terhadap menjaga harta benda mereka.

Pengawasan Kejiranan merupakan satu langkah kepolisian komuniti yang membolehkan masyarakat kampung mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara.

Pengawasan Kejiranan diperluaskan dengan pendekatan pembangunan masyarakat bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan dalam kalangan masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan dengan tujuan untuk membolehkan penduduk setempat bantu-membantu dalam menghadapi masalah sosial, di samping merapatkan hubungan dengan warga Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA