Penglibatan remaja dalam gejala sosial perlu diberi perhatian

Penglibatan remaja dalam gejala sosial perlu diberi perhatian

SANDAKAN, 2 Sept (Bernama) – Penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial masa kini perlu dipandang serius semua pihak kerana ia boleh memberi impak negatif terhadap usaha kerajaan membangunkan negara.

Anggota Parlimen Batu Sapi Linda Tsen Thau Lin berkata remaja perlu dibimbing agar tidak terjebak dengan perkara yang akan merugikan masa depan diri dan keluarga mereka.

“Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa yang akan mengambil pucuk pimpinan negara satu masa nanti,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Remaja di sini hari ini.

Mengenai program itu, Tsen berkata ia adalah sangat tepat kerana remaja merupakan golongan sasar yang penting bagi menjayakan visi mewujudkan masyarakat yang bermoral dan berintegriti.

Beliau berkata program itu juga dapat menyampaikan mesej kepada semua remaja agar membuat pilihan yang betul serta memberi kesedaran untuk memelihara diri daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral.