Penguasan tenaga RE di ASEAN meningkat 23%

Penguasan tenaga RE di ASEAN meningkat 23%

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berharap penguasaan tenaga boleh baharu (RE) di ASEAN meningkat kepada 23 peratus menjelang 2025.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata pada masa ini RE dalam pelbagai penjanaan hanya menyumbang 9.7 peratus, sebahagian besarnya menerusi tenaga hidro dan tenaga geotermal.

“Kita memerlukan anjakan yang lebih besar, sekurang-kurangnya meningkatkan sumbangan RE kepada 23 peratus menjelang 2025, paras yang disasarkan oleh ASEAN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Tenaga Kebangsaan ketujuh di sini hari ini.

Zaini berkata memandangkan Agenda Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 semakin hampir, Malaysia perlu mengenal pasti strategi baharu bagi mengubah landskap tenaga negara.

Beliau berkata instrumen dasar baharu seperti Standard Portfolio Boleh Baharu akan ditimbangkan bagi meningkatkan penguasaan RE secara drastik.

“Untuk itu, kementerian akan melibatkan semua pemegang kepentingan untuk mendapatkan input dan maklum balas bagi membantu kami menrealisasikan sasaran RE,” katanya.

Zaini berkata kementerian itu akan terus mempromosikan budaya dan gaya hidup hijau (mesra alam), kapasiti RE kepada 30 peratus gabungan tenaga menjelang 2030, dan mengurangkan intensiti elektrik sebanyak 20 peratus pada 2020 berdasarkan tahap 2005. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA