Penguatkuasaan di sempadan semakin diperketat

Penguatkuasaan di sempadan semakin diperketat

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) – Banyak aktiviti jenayah merentas sempadan seperti penculikan dapat dicegah berikutan penguatkuasaan begitu ketat di sempadan negara oleh pasukan keselamatan khususnya pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang berkata modus operandi (MO) penjenayah yang sering menyasarkan perairan sempadan negara kini juga telah berubah kerana tidak dapat melepasi pasukan keselamatan yang sering membuat rondaan.

“Peranan Esscom semakin menampakkan kesan positif dalam menjaga keselamatan dan mencegah jenayah merentasi sempadan,” katanya pada majlis penyampaian kuih raya oleh Parti Liberal Demoktratik (LDP) kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Teo, yang juga Presiden LDP berkata kerajaan sentiasa mencari kaedah terbaik dan konsisten bagi memelihara keselamatan perairan negara dan menangani ancaman dari luar negara.

MENJELANG AIDILFITRI... Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Teo Chee Kang (dua,kiri) menyampaikan sumbangan kuih raya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun hari ini, untuk diedarkan kepada petugas PDRM yang bertugas ketika cuti Aidilfitri. –Bernama
MENJELANG AIDILFITRI… Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Teo Chee Kang (dua,kiri) menyampaikan sumbangan kuih raya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun hari ini, untuk diedarkan kepada petugas PDRM yang bertugas ketika cuti Aidilfitri. –Bernama

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Abd Rashid Harun berkata PDRM kontinjen Sabah akan sentiasa melakukan yang terbaik dalam memelihara keselamatan di negeri ini, termasuk pada musim perayaan.

“Pihak PDRM tidak mengenal parti politik atau kaum atau agama atau sesiapa sahaja. Kami terima segala teguran dan ingatan semua supaya kami dapat melaksanakan tugas utama kami iaitu menjaga keselamatan,” katanya.

Mengenai penyampaian kuih raya oleh LDP itu, beliau berharap ingatan parti itu terhadap pengorbanan PDRM dapat menjadi pemangkin kepada usaha PDRM memastikan Sabah terus selamat.