Pengubahsuaian bajet 2016 perlu optimum

Pengubahsuaian bajet 2016 perlu optimum

GEORGE TOWN, 10 Jan (Bernama) – Pengubahsuaian Bajet 2016 sememangnya wajar dalam usaha kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengubahsuaian ini memang diperlukan kerana Bajet 2016 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas adalah berdasarkan pada harga minyak purata AS$48 setong.

Menurutnya, kini harga minyak telah turun sehingga AS$33 setong dan sudah pastinya kerajaan perlu melihat kembali Belanjawan yang dibentangkan tahun lepas bagi mengoptimumkan perbelanjaan.

“Tindakan ini adalah tepat dalam mengimbangi perbelanjaan negara memandangkan pendekatan untuk memotong perbelanjaan kerajaan dilihat kurang sesuai kerana akan memberikan kesan lain termasuk boleh membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

Antara pengubahsuaian yang dicadangkan termasuklah mengoptimumkan perbelanjaan, peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meneruskan perjuangan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Mustapa turut menggesa rakyat Malaysia supaya bersikap lebih objektif dan adil dalam membuat penilaian mengenai TPPA.

Menurutnya, kerajaan akan menyediakan satu teks ringkasan TPPA dalam Bahasa Malaysia untuk diedarkan kepada semua ahli Parlimen pada Selasa depan sebelum diedarkan kepada umum dan satu booklet bertajuk “TPPA Made Simple” dalam bahasa yang mudah juga akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Inilah usaha-usaha kerajaan untuk menyalurkan maklumat yang lebih tepat tentang TPPA supaya ia lebih mudah difahami oleh masyarakat,” katanya.

Rundingan TPPA melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, yang ketika ini menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global.

ARTIKEL YANG SAMA