Pengubahsuaia...

Pengubahsuaian bandar lama Amerika mencemaskan penduduk

SANTO DOMINGO – Bandar kolonial Latin Amerika yang tertua sedang cuba untuk dipulihkan dengan kos perbelanjaan mencecah puluhan juta dolar untuk pembaikan jalan raya, pembuangan sampah, pemasangan lampu-lampu jalan dan pengubahsuaian bangunan-bangunan yang berusia beratus tahun. Ini adalah untuk menarik para pelancong dari Republik Dominican yang hanya sering menikmati keindahan pantai di sana, tapi tidak pergi ke pusat bersejarah di ibu negaranya yang telah lama diabaikan.

Pemilik-pemilik perniagaan berasa gembira dengan perubahan yang bakal dilaksanakan itu namun para penduduk Santo Domingo merasa bimbang kerana mereka khuatir bahawa mereka akan mengalami kenaikan harga disebabkan oleh restoran-restoran baru yang bergaya serta butik-butik baru.

“Lebih menarik banyak pelancong ke sini boleh memberikan kesan negatif kepada kami,” kata Pedro del Castillo, presiden persatuan kejiranan penduduk yang berusia 67 tahun. “Matlamatnya adalah seakan-akan supaya kami pergi dari sini”.

Projek terbesar bandar itu dalam berdekad lamanya dibiayai oleh pinjaman AS$120 juta dari Bank Inter-American Development. Sebahagian besar dari jumlah itu masih perlu diluluskan oleh kongres Republik Dominican.

Wang sebanyak AS$30 juta yang pertama dalam duit pembangunan telah digunakan untuk mengecat 800 buah kediaman, memulihkan muka bangunan pada era penjajahan, menggantikan saluran air dan lampu jalan serta membina kaki lima baru.

Santo Domingo yang sedang diubahsuai membelanjakan berpuluh-puluh juta untuk pembaikan jalan-jalan, pemasangan lampu-lampu jalan dan pengubahsuaian bangunan-bangunan yang berusia ratusan tahun. – AP
Santo Domingo yang sedang diubahsuai membelanjakan berpuluh-puluh juta untuk pembaikan jalan-jalan, pemasangan lampu-lampu jalan dan pengubahsuaian bangunan-bangunan yang berusia ratusan tahun. – AP
Pemilik-pemilik perniagaan gembira dengan perubahan yang bakal dilakukan namun para penduduk Santo Domingo merasa khuatir terhadap kemungkinan bagi mereka untuk berhadapan dengan isu kenaikan harga. – AP
Pemilik-pemilik perniagaan gembira dengan perubahan yang bakal dilakukan namun para penduduk Santo Domingo merasa khuatir terhadap kemungkinan bagi mereka untuk berhadapan dengan isu kenaikan harga. – AP

Menurut data rasmi, banyak perniagaan persendirian yang sudah berpindah masuk, termasuk 325 kafe baru, restoran-restoran, galeri-galeri dan kondominium mewah yang dibuka di pusat kolonial itu dalam lima tahun kebelakangan.

“Pusat itu adalah umpama “sebiji berlian yang perlu digilap,” kata Silvanh Riedel, pengurus dan pemilik kongsi hotel Billini butik.

Angelo Louis, tukang gunting rambut yang berusia 19 tahun menyewa sebuah ruang sebesar 8.4 meter persegi tanpa tandas di Jalan El Conde yang telah mencecah usia beratus tahun dengan sewa sebanyak AS$350 sebulan.

Dia diarahkan untuk keluar dari bangunan milik persendirian itu kerana ia akan dipulihkan dalam beberapa bulan akan datang. Dia memberitahu bahawa dia risau jika pemilik bangunan yang diubah suai itu akan menaikkan sewa dan menjadikannya mustahil baginya untuk kembali ke sana.

“Ia akan memberikan kesan buruk kepada kami,” katanya.

Penyokong program itu menyatakan bahawa kebimbangan itu tidak berasas. Kerajaan bermatlamat bukan saja untuk memberikan perkembangan ekonomi, tapi juga memberikan kehidupan yang lebih baik untuk pusat kolonial itu.

“Ia bermatlamat untuk menyelamatkan bandar ini dengan cara lain” dari usaha-usaha sebelum ini, kata Maribel Villalona, ketua program itu.

Penjajahan Amerika bermula di Santo Domingo, yang ditemui pada tahun 1496 oleh adik Christopher Columbus, Bartolome yang menubuhkan gereja besar pertama, hospital pertama dan universiti pertama di benua itu. Pusat itu ditinggalkan selepas perang saudara negara itu pada tahun 1965. Para penduduk yang lebih kaya berpindah ke pembangunan baru di pinggir ibu negara itu.

Pengubahsuaian muka bangunan di Zon Kolonial Santo Domingo, Republik Dominican. – AP
Pengubahsuaian muka bangunan di Zon Kolonial Santo Domingo, Republik Dominican. – AP

Untuk menyambut ulang tahun ke-500 kedatangan Columbus ke Amerika, beberapa bangunan batu kapur pusat itu dengan balkoni kayu yang indah dipulihkan pada tahun 1992, namun program itu tidak memberikan kesan yang memberangsangkan terhadap ekonomi kawasan itu atau menarik lebih banyak pelancong Republik Dominican.

Menurut statistik kerajaan, hanya 15 peratus dari pelancong-pelancong yang melawat Republik Dominican menghabiskan masa di Santo Domingo dan hanya tiga peratus yang menginap di sana. Mereka ditarik oleh pakej-pakej yang ditawarkan oleh pusat-pusat peranginan pantai dan tidak suka dengan kekurangan kualiti penginapan yang ditawarkan di dalam bandar berdinding Santo Domingo.

Villalona berkata bahawa fasa kedua bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga susah di pusat bersejarah, memulihkan sekitar 200 buah kediaman dan memberikan para penduduk latihan kerja dan pinjaman untuk perniagaan kecil untuk membantu mereka mendapat manfaat dari lonjakan dalam pelancongan itu.

Janji-janji yang diberikan itu tidak melegakan kebimbangan para penduduk seperti Fidel Perez, 48, yang merupakan seorang jurugambar dan bercadang untuk berkahwin beberapa bulan lagi. Dia berkata AS$300 atau AS$400 yang mampu dibayarnya untuk sewa hanya akan memberikan diri dan isterinya sebuah bilik kecil di bandar lama. Ini memaksanya untuk mencari kediaman jauh dari pusat bandar buat pertama kalinya dalam kerjayanya.

Dia menyalahkan pengubahsuaian di bandar kolonial atas kenaikan sewa dan berkata dia tidak rasa pengubahsuaian yang dilakukan di kawasan tersebut akan memberikan faedah kepada penduduknya.

“Buat masa ini, kami sedang melihat permainan dari tepi,” katanya. – AP