Pengukuhan sahsiah bangsa Negara Zikir

Pengukuhan sahsiah bangsa Negara Zikir

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Sebagai pengisian Ihya Al-Tarbiyah Al-Diniyah ke-8 tahun ini, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Bengkal Memahami Bacaan Sembahyang dan Al-Quran yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Perasmian bengkel berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, di majlis yang berlangsung KUPU SB, hari ini.

Kali ini, Jawatankuasa Ihya Al-TArbiyah telah mendatangkan Pengarah Akademi Pemahaman Al-Quran, Dr Abdul Aziz Abdul Rahim dari Hydrabad, India, yang merupakan pelopor program Memahami Al-Quran dan Solat dengan Mudah, untuk mengendalikan bengkel berkenaan.

Yang Berhormat Pengiran Dato Dr Haji Mohammad (tengah) hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pengiran Dato Dr Haji Mohammad (tengah) hadir selaku tetamu kehormat.
Dr. Abdul Aziz menyampaikan ceramah.
Dr. Abdul Aziz menyampaikan ceramah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KUPU SB, Memahami Al-Quran dan Sembahyang dengan Mudah adalah program intensif yang mengetengahkan perkataan-perkataan dan kaedah nahu lazim (yang banyak berulang) dalam Al-Quran hasil analisa terhadap Al-Quran , hadis, bacaan sembahyang, enam surah lazim dan doa serta zikir yang sudah dihafal oleh umat Islam.

Bengkel berkenaan disertai seramai 250 peserta yang terdiri daripada pegawai, pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB dan peserta jemputan dari Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.

Ia antara lain bermatlamat untuk mengukuhkan pembinaan sahsiah bangsa Negara Zikir dengan bermula dari warga KUPU SB menerajui umat Islam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan Al-Quran sebagai kitab yang paling menarik, sentiasa relevan dan paling penting dalam kehidupan dunia dan akhirat ke arah pembentukan generasi Al-Quran yang membaca, memahami, mengamalkan dan menyebarkan Al-Quran.

Menurut KUPU SB, Ihya Al-Tarbiyah Al-Diniyah merupakan program ilmiah yang diadakan setiap tahun, sebagai ruang perbincangan di antara para ilmuan dan cendekiawan mengenai hal ehwal semasa yang berkaitan dengan pendidikan Islam.

ARTIKEL YANG SAMA