Pengulas politik Kemboja dipenjara 18 bulan

PHNOM PENH, 10 Ogos – Seorang penganalisis politik Kemboja telah dipenjara selama 18 bulan hari ini akibat menuduh parti pemerintah Hun Sen terlibat dalam pembunuhan pengkritik kerajaan yang terkenal.

Kem Ley ditembak pada Julai tahun lepas sambil minum kopi di luar sebuah stesen minyak di ibu negara dalam satu pembunuhan pada siang hari yang mencetuskan kekecohan dalam kumpulan masyarakat sivil. Seorang bekas askar, yang memanggil dirinya sebagai ‘Meet to Kill’, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada bulan Mac atas pembunuhan tersebut.

Penganalisis politik Kim Sok didakwa atas kesalahan memfitnah dan menghasut dalam bentuk ulasan semasa wawancara radio yang menunjukkan hubungan antara Parti Rakyat Kemboja yang memerintah dan insiden itu. Aduan itu dibawa oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang telah memerintah negara selama lebih dari tiga dekad.

Mahkamah Phnom Penh hari ini mendapati bahawa Kim Sok bersalah atas tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan penjara, memerintahkan dia membayar pampasan AS$200,000 kepada parti pemerintah. – AFP