Pengundi luar bandar perlu kekal sokong BN

Pengundi luar bandar perlu kekal sokong BN

SIBURAN, 8 Nov (Bernama) – Seorang anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak menggesa pengundi luar bandar di negeri ini untuk meneruskan tradisi mereka menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya negeri akan datang menjelang pertengahan 2016.

ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ini akan memastikan mereka tidak ketinggalan menikmati manfaat daripada program transformasi luar bandar oleh kerajaan BN Sarawak.

Sagah yang juga timbalan speaker dewan undangan negeri, berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mahu meningkatkan pembangunan luar bandar untuk mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berkata demikian sebagai tetamu kehormat pada majlis makan malam dengan pemimpin-pemimpin yang dianjurkan oleh Persatuan Bisapug Sarawak (BAS) di sini malam tadi.

Sagah menggesa para pemimpin masyarakat dan masyarakat Bisapug di empat kampung di Padawan iaitu Kampung Simpok, Kampung Mundai, Kampung Sarig dan Kampung Pesang, untuk bekerja bersama-sama dan memberikan sokongan kepada persatuan itu.

Presiden BAS Niko Panduk berkata bidang pendidikan dan kebudayaan akan menjadi agenda persatuan itu tahun depan. Ia berhasrat untuk menganjurkan ceramah motivasi untuk pelajar daripada masyarakat Bisapug dan mengadakan pertandingan ratu cantik ‘Dayung Pimaguh Bisapug’.