Pengundi Sarawak mula pulang untuk mengundi

Pengundi Sarawak mula pulang untuk mengundi

KUCHING, 5 Mei (Bernama) – Ramai pengundi Sarawak yang tinggal di luar negeri mula pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-11 Sabtu ini.

Mengambil cuti rehat dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri tidak menjadi masalah bagi mereka kerana yang diutamakan ialah menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

Bagi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Marin, pulang ke sini untuk mengundi telah menjadi kebiasaan baginya dan ini kali kelima beliau berbuat demikian.

Beliau akan pulang ke Kuching esok dari Kuala Lumpur dan akan mengundi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar yang menyaksikan pertandingan empat penjuru. Penyandang kerusi itu, calon Barisan Nasional Ranum Mina dicabar oleh calon PBDSB Patrick Anak Uren, calon PKR Francis Teron Kadap Anak Noyet dan calon Bebas Niponi Anak Undek.

John Riba yang berasal dari Kampung Stenggang, Lundu ketika dihubungi berkata adalah menjadi “tanggungjawab dan hak saya sebagai anak Sarawak untuk turut serta mengundi bagi memilih kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.”

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Aliyanawati Hiri, 38, menunjukkan antara barangan keperluan yang perlu ada menjelang pilihan raya. Ramai pengundi yang bekerja atau berada di luar Sarawak mula pulang untuk mengundi Sabtu ini. - Bernama
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Aliyanawati Hiri, 38, menunjukkan antara barangan keperluan yang perlu ada menjelang pilihan raya. Ramai pengundi yang bekerja atau berada di luar Sarawak mula pulang untuk mengundi Sabtu ini. – Bernama

Sementara itu dua beradik yang mengajar di Sabah, Lukis Anak Henry, 46, dan adiknya Lilin Lisoi, 43, amat teruja kerana ini adalah kali pertama mereka akan mengundi setelah berada di Sabah hampir 10 tahun.

Kedua-dua mereka yang akan pulang ke Kampung Semadang di Penrissen esok (Jumaat), akan mengundi di kawasan DUN Mambong.

“Kesempatan untuk pulang ke kampung halaman akan kami gunakan untuk berjumpa kedua-dua ibu bapa dan adik-beradik yang amat dirindui,” kata Lukis yang mengajar di sebuah sekolah di Beaufort, Sabah.

Seorang eksekutif sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, Egberg Koh, 49, yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan DUN Batu Lintang berkata beliau akan pulang esok untuk turut bersama penduduk senegerinya mengundi Sabtu ini.

“Saya sudah mendapat cuti selama tujuh hari dan akan pulang bersama-sama dengan keluarga (isteri dan dua orang anak) ke Kuching.

“Sambil balik untuk bercuti, peluang juga akan turut digunakan untuk menunaikan hak saya sebagai pengundi,” katanya.

Koh berkata pelbagai berita mengenai pilihan raya negeri ini telah mendorongnya untuk pulang mengundi.

Di SIBU, seorang peniaga di Banting, Selangor, Sopian Rapaee, 43, berkata beliau pulang ke Kampung Datu sejak seminggu lepas untuk mengundi.

“Sebagai peniaga saya boleh balik ke kampung awal kerana tiada waktu kerja tetap, jadi boleh tengok calon,” katanya yang akan mengundi di kawasan DUN Nangka dekat sini.

Bagi Joyce Rani, penjawat awam dari Selangor, walaupun terpaksa balik sekali lagi untuk perayaan Gawai hujung bulan ini, beliau tetap tidak melepaskan peluang untuk mengundi Sabtu ini.

“Biarpun kos penerbangan tinggi untuk balik mengundi, saya tetap akan melakukannya kerana mengundi adalah tanggungjawab saya sebagai anak Sarawak,” katanta yang akan mengundi untuk kerusi DUN Repok.

Joyce berkata walaupun jauh di Selangor, beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik di negeri ini, khasnya di kawasan Repok.