Pengurangan caj kontena kini berkuatkuasa

Pengurangan caj kontena kini berkuatkuasa

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Pengurangan caj kontena import dan eksport sebanyak 36 peratus yang dikenakan oleh Jabatan Pelabuhan telah berkuat kuasa semalam, Isnin, 1 Ogos 2016.

Pengurangan khusus oleh jabatan berkenaan melibatkan caj pemunggahan kargo diterima ejen perkapalan dan menurunkan dan menaikkan (LOLO) dan caj dermaga kepada penghantar. Ini adalah beberapa caj yang ditanggung oleh pengirim bagi perkhidmatan Terminal Kontena Muara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelabuhan, Kementerian Perhubungan di sini, pengurangan caj pelabuhan yang dikenakan di Terminal Kontena Muara adalah sebahagian usaha untuk menggalakkan industri tempatan dengan menurunkan kos logistik untuk membolehkan Pelabuhan Muara terus kompetitif dengan pelabuhan-pelabuhan rantau kecil dalam rantau BIMP-EAGA.

Selain daripada pengurangan caj pelabuhan, Jabatan Pelabuhan juga memberikan tempoh penyimpanan percuma bagi semua kontena import dan eksport yang mana lanjutan dari dua hingga lima hari dijangka berpotensi menjimatkan kos penyimpanan bagi pengirim dan penerima.

Menurut kenyataan itu lagi, tempoh lebih lama itu membolehkan masa mencukupi bagi proses kelulusan permit tetapi dengan lanjutan ini, Jabatan Pelabuhan akan terus memastikan kelancaran dan pergerakan kontena tanpa gangguan.

Dengan matlamat mengurangkan keseluruhan kos logistik untuk memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan dari segi pengendalian kos di Terminal Kontena Muara, usaha ini adalah susulan daripada usaha sama antara Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perhubungan dan Kementerian Kewangan dengan sokongan Unit PENGGERAK dan juga Jawatankuasa East of Doing Business (EODB) dengan harapan ia akan dapat menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Jabatan Pelabuhan berkata, kadar caj pelabuhan lebih rendah diharapkan menarik lebih banyak kedatangan kargo dan kapal ke Pelabuhan Muara dan seterusnya menambah hubungan di rantau ini.

Stakeholder lain dalam sektor logistik juga dijangka dimudahkan dengan pengurangan caj masing-masing mereka seperti perkapalan, caj pengiriman dan pengangkutan. Ke arah matlamat ini, ejen-ejen berkaitan dengan itu diingatkan tidak memanipulasi caj pelabuhan ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Kementerian Perhubungan di www.mincom.gov.bn; laman sesawang Jabatan Pelabuhan di www.ports.gov.bn; laman sesawang Trading Across Borders di www.tradingacrossborders.gov.bn dan www.business.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA