Pengurus dana digesa perakui pelaburan nilai

Pengurus dana digesa perakui pelaburan nilai

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pelabur perlu meletakkan kedudukan mereka secara berkesan dan memperakui pelaburan nilai ketika pasaran global dan Bursa Malaysia berada dalam ketidaktentuan yang mungkin berterusan sehingga 2017, kata seorang pengurus dana dan strategi pelaburan.

Tan Teng Boo, Pengasas dan Pengarah Urusan firma penasihat pelaburan Capital Dynamics, berkata bursa tempatan akan terdedah kepada ancaman cadangan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), serta perkembangan luar yang negatif. Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata bursa tempatan akan kekal rendah sehingga keadaan ekonomi global kembali bertambah baik.

Capital Dynamics, yang mempunyai pejabat di Sydney, Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong dan Shanghai, ialah pengurus dan penasihat icapital.biz Bhd, sebuah dana tertutup yang disenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

“FBM KLCI, barometer pasaran yang mencapai kemuncaknya pada paras 1,900 tahun lepas, diunjurkan bergerak ke paras 1,500 pada akhir 2016 berbanding paras semasa pada 1,600,” katanya.

Sementara itu, pasaran global yang kembali rendah baru-baru ini yang dicetuskan oleh kerugian besar dalam pasaran Eropah menjelang mesyuarat utama Rizab Persekutuan AS pada 21 Sept,  akan memberi isyarat mengenai arah tuju kadar faedah AS.

Kebimbangan semakin meningkat memandangkan kenaikan kadar faedah akan menyebabkan dana tidak mengalir ke pasaran di luar Amerika Syarikat. – Bernama

Tan berpendapat Bajet 2017 mempunyai kesan yang terhad terhadap FBM KLCI memandangkan perbelanjaan akan terhad ekoran kekangan hasil kerajaan berikutan pendapatan yang lebih rendah daripada sumber tenaga serta pertumbuhan ekonomi yang perlahan tahun ini.

Beliau menegaskan bahawa pasaran ekuiti AS, ekuiti terbesar di dunia, akan menerima impak terbesar besar ke atas pasaran global.

Oleh itu, kenaikan kadar faedah AS yang kekal pada tahap yang sangat rendah sejak sembilan tahun lepas, akan memberi kesan negatif ke atas pasaran global.

Kenaikan sudah dijangkakan seawal tahun ini ekoran kadar faedah utama AS kekal hampir sifar sepanjang tempoh itu sehingga dinaikkan 25 mata asas pada Disember tahun lepas kepada julat 0.25 peratus kepada 0.5 peratus. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA