Pengurus mengaku pecah amanah

Pengurus mengaku pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Seorang bekas pengurus barisan hadapan sebuah hotel mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah pada 2014.

Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni bagaimanapun menetapkan 10 Januari untuk sebutan hukuman Norafidah binti Haji Nasir yang menghadapi tuduhan melakukan kesalahan pecah amanah berjumlah $29,198.08 ketika bertugas di Hotel Badi’ah.

Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim di bawah Seksyen 408 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang mempunyai lima orang anak berusia antara setahun hingga 10 tahun itu merayu supaya hukumannya diringankan dan kesalahan yang dilakukannya adalah akibat ‘terdesak’ dan bukannya disengajakan.

pg06_mahkamah-logo

Tertuduh, antara Februari dan Mei 2014, telah menerima bayaran sewa untuk dewan bankuet hotel daripada pelanggan yang berlainan dengan jumlah keseluruhan $29,198.08.

Tertuduh mengeluarkan resit kepada pelanggannya sebagai menerima pembayaran namun wang itu tidak diserahkan kepada akauntan hotel, sebaliknya tertuduh menggunakan wang itu untuk perbelanjaan sendiri.

Perbuatan tertuduh hanya terbongkar pada 6 Jun 2014 oleh pengurus operasi hotel sebaik dimaklumkan oleh akauntan hotel bahawa kutipan sewa dewan bankuet dan resit adalah tidak selaras. Laporan polis dibuat pada 7 Jun 2014.

Siasatan mendedahkan tertuduh hanya membayar balik wang $2,420 pada 5 Jun dan $300 pada 7 Jun 2014.

Dia mengaku menggunakan $12,000 untuk membayar hutang dan selebihnya untuk perbelanjaan sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA