Pengurus syarikat parah ditembak

Pengurus syarikat parah ditembak

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) – Seorang pengurus besar syarikat swasta cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuh raya Utara Selatan dekat Desa Petaling awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata mangsa lelaki berusia 40 tahun itu terkena lima das tembakan daripada enam das tembakan yang dilepaskan oleh suspek dalam kejadian 8:40 pagi itu.

“Pada mulanya suspek yang bermotosikal itu melepaskan empat das tembakan dari kanan kereta mangsa, kemudian suspek beralih ke kiri kereta dan melepaskan dua lagi tembakan.

“Ketika ditembak, mangsa sedang memandu kereta dari arah Seremban menghala ke ibu negara untuk pergi ke pejabatnya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Amar Singh berkata mangsa terkena dua das tembakan di tangan kanan, dua das tembakan di leher kanan dan satu das tembakan lagi terkena pada dada mangsa.

Beliau berkata mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut. Katanya polis percaya dua suspek terlibat dalam kejadian ini.

Menurutnya mangsa pernah membuat laporan polis menerima ugutan bunuh.

Katanya pemeriksaan polis di lokasi kejadian turut menemukan lima kelongsong peluru yang ditinggalkan suspek.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

ARTIKEL YANG SAMA