Pengurus West Ham didakwa

LONDON, 14 Feb – Pengurus West Ham United Slaven Bilic didakwa atas salah laku kerana sikapnya ketika seri 2-2 menentang West Bromwich Albion Sabtu lalu, Persekutuan Bola Sepak (FA) mengumumkan semalam.

Bilic yang berang diarah meninggalkan padang oleh pengadil Michael Oliver selepas mencampakkan mikrofon televisyen kerana kecewa dengan jaringan penyamaan lewat West Brom pada persaingan Liga Perdana di Stadium London.

Pembantu Bilic Nikola Jurcevic menerima dakwaan sama selepas membuat aduan dalam perlawanan yang sama mengenai ‘jaringan’ Hammers tidak dikira dengan ofsaid.

Kedua-dua mereka mempunyai masa sehingga 1800 GMT Khamis ini untuk memberikan respons terhadap dakwaan mereka masing-masing.

“Pengurus West Ham United Slaven Bilic didakwa oleh FA berikutan perlawanan menentang West Bromwich Sabtu lalu, 11 Februari 2017,” kata kenyataan FA yang dikeluarkan pada Isnin.

“FA mendakwa bahawa sikapnya dalam atau sekitar 90 minit perlawanan dikatakan kelakuan yang tidak sesuai.

“Pembantunya Nikola Jurcevic juga didakwa kerana salah laku berikutan insiden pada minit ke 19. Kedua-duanya mempunyai masa sehingga 6 petang (1800 GMT) pada 16 Februari 2017 untuk memberikan respons terhadap dakwaan yang dikenakan ke atas mereka.”

Bilic bertegas pasukannya berulang kali terjejas akibat keputusan lembap Oliver dalam perlawanan di mana mereka bangkit untuk mendahului 2-1 tetapi dinafikan menerusi jaringan Gareth McAuley dengan tandukan minit akhir.

Pada awal perlawanan, Oliver memutuskan untuk memberikan sepakan percuma kepada West Ham selepas Sofiane Feghouli dikasari tetapi jaringan pembukaan Nacer Chadli muncul bagi pasukan Baggies, sementara Jurcevic berang apabila gol Feghouli dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

“Terdapat empat atau lima keputusan dan kesemuanya menentang kami. Ia menyebabkan anda kecewa,” kata Bilic selepas perlawanan.

Bilic dan Jurcevic mungkin diberikan penggantungan dari garisan tepi padang atau denda jika didapati bersalah dengan dakwaan itu.

Perlawanan West Ham seterusnya ialah bertandang ke Watford untuk perlawanan liga pada 25 Februari sebelum pertemuan tetangga di laman sendiri menentang Chelsea pada 6 Mac. Hammer menduduki tangga ke-10 dengan 12 mata di atas zon penyingkiran. – AFP