Pengurusan air di Sabah tidak memuaskan

Pengurusan air di Sabah tidak memuaskan

KOTA KINABALU, 21 Nov – Pengurusan kawal selia air di Sabah ‘kurang memuaskan’, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 hari ini.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya sedang meneliti kelemahan dalam amalan, sistem dan prosedur Jabatan Air Negeri Sabah bagi tujuan penambahbaikan proses kerja khusus berkaitan perolehan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur.

“Usaha ini bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek-projek JANS,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Bulan lepas, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah JANS dan merampas lebih RM114.5 juta setakat ini.

Laporan Ketua Audit Negara itu menyebut audit dijalankan antara bulan Mac 2016 hingga Julai 2016 yang mendapati, antara lain, pembinaan empangan belum dilaksanakan kerana menunggu pihak kejuruteraan.

Selain itu, katanya, kajian keperluan air juga tidak dilaksanakan di peringkat daerah untuk menilai kesediaan air berbanding keperluan air. – Bernama