Pengurusan berhemat amat tepat

Pengurusan berhemat amat tepat

TAWAU, 10 April (Bernama) – Pengurusan Sabah Softwood Berhad (SSB) terutama dalam aspek kewangan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemat sangat bertepatan untuk menghadapi situasi ekonomi yang kian mencabar pada masa kini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pengurusan berhemat diamalkan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan Sabah itu, sangat sesuai dan bertepatan untuk menghadapi ketidaktentuan harga pasaran komoditi kelapa sawit di pasaran dunia ketika ini.

“Ia (kejatuhan harga pasaran kelapa sawit) membuatkan industri ini melalui satu tempoh agak sukar. Kesan daripada hal itu amat dirasai oleh syarikat perladangan kelapa sawit yang menjadi penyumbang utama pendapatan dan keuntungan syarikat.

“Dalam tempoh satu dekad lepas, SSB mencapai banyak kejayaan membanggakan dengan pelaksanaan beberapa inisiatif dan pembangunan berterusan dalam memastikan syarikat terus berdaya saing dalam industri ini,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan tahunan SSB di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Musa yang juga Ahli Lembaga Pengarah SSB berkata pelaksanaan transformasi menerusi Pelan Induk Rancangan Hala tuju 2016-2020 SSB, yang menggembleng seluruh sumber dimiliki ke tahap optimum amat signifikan dan tepat pada masanya.

“Amat penting pihak pengurusan terus berusaha mencari jalan meningkatkan pendapatan syarikat, dan tanah yang dimiliki dibangunkan secara optimum serta fokus kepada produk hiliran yang memberi nilai tambah kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata kejayaan sesebuah organisasi terletak pada kekuatan sumber manusia di samping peranan pimpinan pengurusan yang perlu cekap dan berwibawa dalam memandu hala tuju syarikat demi mencapai matlamat ditetapkan.

“Oleh itu, kita harap latihan untuk pembangunan kakitangan terutamanya kepada anak syarikat kerajaan negeri terus dilaksanakan dalam memastikan kecemerlangan berterusan syarikat berkenaan,” katanya.