Pengurusan di bawah satu bumbung

Pengurusan di bawah satu bumbung

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Bagi menjimatkan kewangan kerajaan dan untuk menjayakan usaha kerajaan menggalakkan mengembangkan PKS di negara ini dan di luar negara, Jabatan Perdagangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dicadangkan supaya disatukan di bawah satu bumbung dengan Jabatan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ini kerana, tugas dan tanggungjawab untuk mengenal pasti peluang-peluang perniagaan di luar negara bagi pengusaha-pengusaha tempatan akan lebih berkesan jika ia dijalankan oleh Jabatan Perindustrian kerana jabatan ini lebih memahami kedudukan pengusaha-pengusaha tempatan, kelemahan dan kekuatan serta keupayaan mereka dan seterusnya mengenal pasti, mengetahui dan memahami cita rasa perindustrian yang akan dimajukan di negara ini.

Sementara promosi-promosi perdagangan boleh dijalankan dengan kerjasama antara kedutaan-kedutaan Brunei yang berada di luar negara dengan Jabatan Perindustrian, JPM.

Penyatuan ini dicadangkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman pada hari kelima persidangan Majlis Mesyuarat Negara, pagi tadi.

pg08_160311_b

Dalam perkara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng menjelaskan tugas dan tanggungjawab Jabatan Perdagangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (KHELNP) adalah membuat pendedahan barangan dan perkhidmatan tempatan kepada acara antarabangsa.

KHELNP, tambah beliau, juga telah membantu syarikat-syarikat tempatan dengan mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka di acara antarabangsa terutama ekspo dan pameran.

Contoh bantuan itu termasuk memudahkan penyertaan syarikat-syarikat dan penyediaan petak pameran atau ekspo, bantuan teknikal dan peningkatan keupayaan, bantuan pusat-pusat promosi ASEAN-Japan dan ASEAN-Korea.

Manakala itu, dari segi pakar-pakar teknikal, meningkatkan kualiti dan piawaian barangan dan perkhidmatan tempatan misalnya pembungkusan daripada Pusat Promosi ASEAN-Japan serta membantu meningkatkan kefahaman untuk menarik pelancong dari Pusat Promosi Korea, jelas beliau.

Menurut beliau lagi, di Jabatan Perdagangan, semua perkara ini, telah dirundingkan dengan agensi-agensi tertentu dan sejak tahun 2011, kementerian ini telah membantu 248 buah syarikat tempatan untuk menyertai 39 ekspo dan pameran perdagangan di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA