Pengurusan e-sisa akan diperkenalkan

Pengurusan e-sisa akan diperkenalkan

SANTUBONG, 14 Jan (Bernama) – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memperkenalkan undang-undang pengurusan dan pengendalian bahan buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) dari isi rumah.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata undang-undang sedemikian diperlukan memandangkan Malaysia ketika ini tidak mempunyai sistem serta peraturan khusus dalam pengendalian pembuangan e-sisa bagi barangan kelengkapan rumah.

“Malaysia sudah mempunyai sistem pembuangan e-sisa daripada industri, namun begitu, kita masih belum ada pengendalian dan sistem pengurusan e-sisa bagi pembuangan barangan kelengkapan rumah antaranya alat penyaman udara, peti sejuk, komputer dan telefon bimbit.

“Ketika ini juga, e-sisa mungkin dibuang ke dalam longkang, semak termasuk tong sampah biasa. Ini mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar jika tindakan tidak dilakukan segera,” katanya.