Pengurusan haji, umrah bersistematik, sempurna

Oleh Yusrin Junaidi

 

JEDDAH, Arab Saudi, 12 Feb – Pengurusan haji dan umrah Negara Brunei Darussalam dipuji antara yang terbaik dan paling terurus kerana bersistematik dan sempurna, terutamanya pada tahun lalu.

Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh bin Taher Bentin berkata demikian pada Perjumpaan dan Mesyuarat Pengurusan Haji Tahunan Peringkat Menteri 1439 Hijrah di Bangunan Kementerian Haji dan Umrah, Jeddah, Arab Saudi hari ini.

Mengetuai kerajaan Negara Brunei Darussalam pada perjumpaan dan mesyuarat tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Menurut Dr Mohammed Saleh lagi, dalam pengurusan haji negara pada musim lalu, Brunei dapat menguruskan dan mempunyai jemaah haji terbaik yang mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi, menumpukan sepenuhnya ke atas pelaksanaan manasik haji.

Kementeriannya dan agensi-agensi berkenaan di Arab Saudi akan sentiasa memberikan bantuan kepada semua jemaah termasuk jemaah haji Brunei selaras dengan saranan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud supaya memberikan perkhidmatan dan keselesaan terbaik kepada jemaah haji negara.

Perjumpaan dan mesyuarat yang berlangsung antara kedua-dua menteri dan para pegawai Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi di Jeddah.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Dr. Mohammed Saleh di Jeddah, Arab Saudi.

Menurutnya lagi, usaha-usaha sedang dilaksanakan untuk mengemaskinikan dan penambahbaikan hal ehwal urusan haji seperti penginapan, pengangkutan, penerbangan dan lain-lain lagi bagi musim haji tahun ini.

Manakala Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin melahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan Arab Saudi dan kementerian tersebut atas pengurusan dan pengendalian cemerlang serta layanan baik yang diberikan kepada jemaah-jemaah haji sepanjang musim haji tahun lalu.

Yang Berhormat Pehin juga menyambut baik undangan dan komitmen kementerian tersebut mengadakan perbincangan dan rundingan berterusan mengenai hal ehwal pengurusan haji bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi kepentingan dan kebajikan bakal jemaah haji negara ini.

Sejurus mesyuarat, kedua-dua menteri mengadakan sidang media mengenai mesyuarat tersebut.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin turut mengadakan kunjungan hormat kepada Dr Mohammed Saleh bertujuan mengeratkan lagi hubungan, bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam perkara berkepentingan bersama.

Turut hadir pada perjumpaan dan mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, Pemangku Konsul Agong Negara Brunei Darussalam di Jeddah, Pengiran Haji Irman bin Pengiran Haji Othman dan Pemangku Urusan Haji Umrah, Haji Abdullah bin Haji Mohamad serta wakil Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Haji Abdul Nasir bin Haji Bolhassan.