Pengurusan hutan dan landskap penting untuk kemajuan

Pengurusan hutan dan landskap penting untuk kemajuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Pengurusan hutan dan landskap yang mapan merupakan salah satu faktor utama bagi mengurangkan perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan di mana bagi Asia Pasifik iaitu sebuah rantau dinamik yang kaya dengan aset semula jadi, penekanan atau penumpuan kepada perkara itu adalah amat penting sebagai kaedah untuk maju ke hadapan.

Sehubungan itu, pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada wakil sektor kerajaan, perniagaan, persatuan awam dan komuniti penyelidikan akan membincangkan dan berkongsi pengalaman mengenai pengurusan hutan hujan mapan di Negara Brunei Darussalam pada Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik 2016 (APRS 2016) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, mulai 3 hingga 5 Ogos ini.

Acara antarabangsa yang dihoskan oleh Brunei dan disokong oleh kerajaan Australia itu akan membincangkan mengenai usaha untuk memangkinkan tindakan praktikal bagi mengurangkan emisi daripada kehilangan hutan dan kemusnahan hutan serta untuk mencapai pembangunan mapan serantau.

Hutan hujan di rantau Asia Pasifik merangkumi kira-kira 26 peratus kawasan darat rantau berkenaan dan ia menyokong kehidupan bagi kira-kira 450 juta orang penduduk serta mempunyai kekayaan khazanah semula jadi dan biodiversiti yang merupakan enjin amat penting bagi pertumbuhan ekonomi.

Sidang kemuncak selama tiga hari itu, mengetengahkan penceramah-penceramah dari rantau Asia Pasifik, termasuk Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Alam Sekitar dan Hutan, Indonesia, Siti Nurbaya; Pengarah Urusan dan Naib Pengerusi, Global Investment Banking Credit Suisse, Mark Burrows; Pengarah Pemuliharaan, Rantau Asia Tenggara, The Nature Conservancy, Jack Hurd; Saintis Utama Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR), Pablo Pacheco; dan Pegawai Perhutanan Kanan bagi Asia dan Pasifik, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Patrick Durst.

Selain itu, pada perasmian sidang itu nanti juga akan menyaksikan pelancaran buku bertajuk Bird Watching in Brunei Darussalam: A guide to the birds of Brunei Darussalam, Edisi ke-2.

Sidang kemuncak itu mengetengahkan beberapa tema utama termasuk pembiayaan iklim hutan inovatif di mana pada masa ini terdapat minat yang meningkat mengenai peluang bagi pelaburan kewangan inovatif dalam penyesuaian dan mengurangkan perubahan iklim termasuk pelaburan dalam mengurangkan emisi daripada kehilangan serta kemusnahan hutan.

Tema lain yang bakal diketengahkan adalah peranan sektor swasta dan peluang-peluang baru bagi kerjasama awam, kerajaan dan swasta di mana sektor swasta mempunyai peranan yang penting dalam memulihara hutan hujan di rantau Asia Pasifik termasuk melalui amalan perniagaan serta peluang untuk menubuhkan kerjasama di antara syarikat-syarikat swasta, komuniti dan pihak kerajaan.

Di samping itu, tema ekonomi hijau bagi masa depan yang cerah turut diketengahkan di mana ia menekankan perlunya untuk mengimbangkan nilai biodiversiti dengan keperluan untuk membangunkan ekonomi. Oleh itu, ekonomi hijau akan menunjukkan bagaimana hutan boleh mengekalkan kapital aslinya dan pada masa yang sama dapat menyokong pembangunan industri dan kehidupan seharian masyarakat.

Sidang itu juga membentangkan pentingnya dasar dan urus tadbir hutan yang kuat sebagai asas kepada pengurusan mapan hutan dan landskap bagi mengurangkan perubahan iklim dan galak pembangunan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA