Pengurusan masa kunci kejayaan

Pengurusan masa kunci kejayaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Pengurusan masa yang teratur adalah antara kunci yang membolehkan seorang ibu, isteri dan setiausaha kepada salah seorang pengurus besar syarikat mencapai impian untuk meningkatkan pendidikannya.

Pengiran Hajah Rahimahwati binti Pengiran Haji Ibrahim berkata dengan sokongan dan bantuan keluarga, rakan-rakan sekerja dan rakan-rakan kolej serta ketua pejabatnya, menjadikan beliau bersyukur dan tabah dalam menempuhi cabaran sepanjang tiga tahun pengajian Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Pengurusan Perdagangan sehingga menerima Anugerah Akademik bagi Program BDTVEC semasa Majlis Konvokesyen Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT) ke-9 di Dewan Utama Indera Samudra, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, pagi tadi.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa, Pengiran Hajah Rahimahwati menjelaskan pada sebelah pagi beliau akan masuk ke pejabat, balik kerja beliau akan masuk kelas dan selepas kelas adalah masa untuk bersama keluarga.

“Saya akan bangun awal pagi untuk membuat ulang kaji pelajaran sebelum masuk ke pejabat memandangkan itu hanyalah masa untuk saya membuat ulang kaji.

“Sementara untuk menyiapkan tugasan, saya akan mengorbankan hujung minggu saya tetapi dengan membahagikannya setengah hari bersama keluarga dan setengah hari seterusnya untuk membuat tugasan,” ujarnya.

Muhammad Fikri berkata sepanjang penganjiannya beliau banyak belajar mengenai teknologi terkini.
Muhammad Fikri berkata sepanjang penganjiannya beliau banyak belajar mengenai teknologi terkini.
Pengurusan masa yang baik menjadi kunci kepada kejayaan Pengiran Hajah Rahimahwati.
Pengurusan masa yang baik menjadi kunci kepada kejayaan Pengiran Hajah Rahimahwati.

Dalam kesempatan itu, beliau juga menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya, suami, anak-anak, rakan-rakan dan ketua beliau serta rakan sekerja di DSTComm atas sokongan dan bantuan yang dihulurkan sepanjang pengajiannya.

“Budi baik dan kesefahaman ketua yang memberi peluang saya meneruskan pelajaran dan syarikat untuk memberi subsidi pembiayaan sekolah adalah sangat-sangat saya hargai,” ujarnya lagi.

Sementara itu, salah seorang graduan yang ditemui, Dayang Nur Adilah binti Haji Moksin, 22, turut berkata pengurusan masa dan persiapan itu penting dalam pengajian.

“Pengurusan masa dan persiapan dengan membuat jadual untuk membuat ulang kaji itu penting dalam setiap pembelajaran bagi mengelakkan keserabutan dalam membuat tugasan yang diberikan diikuti dengan ulang kaji sebelum menghadapi peperiksaan,” ujarnya yang menerima Diploma Antarabangsa NCC dalam Perniagaan.

Katanya lagi, cabaran yang dilalui sepanjang pengajian itu adalah sangat sukar terutama sekali dalam menghadapi banyak tugasan dan berhadapan dengan tekanan peperiksaan yang menyebabkan beliau kurang rehat namun akhirnya membuahkan hasil kejayaan.

Seorang lagi graduan, Awang Muhammad Fikri bin Lasa, 29, memberitahu bahawa sepanjang pengajian dalam Diploma Tertinggi Kebangsaan BDTVEC dalam Pengajian Komputer, beliau banyak belajar mengenai teknologi masa kini secara mendalam khususnya dalam bidang pengkomputeran.

“Cabaran sepanjang pengajian saya adalah semasa membuat projek komputer. Kami mesti membuat tugasan berkumpulan dan perlu siap dalam masa yang terhad, sehingga memerlukan kami bertungkus lumus menyiapkannya dari pagi ke malam,” ujar beliau yang telah menamatkan Pra Diploma Kebangsaan dan Diploma Kebangsaan dalam Pengajian Komputer sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA