Pengurusan masa penting untuk cemerlang

Pengurusan masa penting untuk cemerlang

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Pengurusan masa ternyata penting ke arah kecemerlangan, seperti yang dinyatakan oleh beberapa orang penerima anugerah pelajar cemerlang Kementerian Pendidikan tahun ini.

Rata-rata penerima anugerah yang ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), pagi tadi menekankan akan kepentingan pengurusan masa dalam mengulang kaji pelajaran.

Selain pengurusan masa, Dayang Nurul Izzati binti Awang Shuani dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan turut menekankan kepentingan membuat jadual sendiri bagi masa yang sesuai untuk mengulang kaji.

Beliau yang menerima Anugerah Cambridge Outstanding Achievers (Kategori Sepuluh Tertinggi di Dunia) bagi mata pelajaran Statistik peringkat ‘O’ turut mengongsikan persiapan semasa menduduki peperiksaan, iaitu dengan mengulangkaji di peringkat yang lebih awal lagi dan mempelajari semula mana-mana subjek baru yang dipelajari pada setiap kelas beliau.

Bercakap mengenai impian masa depan, beliau melahirkan hasrat untuk menjadi seorang doktor pakar dalam bidang kanser atau pakar dalam bio-statistik.

Dayang Nurul Izzati binti Awang Shuani.
Dayang Nurul Izzati binti Awang Shuani.

“Saya ingin meningkatkan kesedaran dalam kanser dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya sambil menyatakan harapan untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti terkenal di United Kingdom atau Australia pada masa hadapan.

Penekanan kepentingan pengurusan masa ini juga dikongsikan oleh Seyrence Lee Jin Hui yang menerima Anugerah Cambridge Outstanding Achievers dalam kategori Tertinggi di Dunia, Tertinggi di Negara Brunei Darussalam dan Pencapaian Tertinggi ‘O’ Level bagi subjek Commercial Studies, Geography (Brunei) dan Sosiologi.

Seyrence Lee yang mengambil 13 mata pelajaran bagi peperiksaan O Level berkata, beliau telah berusaha untuk membahagikan masanya bagi kesemua mata pelajaran tersebut dan telah bekerja keras semasa musim peperiksaan yang lalu.

Seyrence Lee Jin Hui.
Seyrence Lee Jin Hui.

Menurutnya, pada minggu peperiksaan, ia benar-benar sibuk tetapi beliau bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik dalam semua kertas peperiksaan.

Beliau sebelum ini menuntut di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan turut berkata, mempunyai ruang belajar yang selesa dan jauh daripada alat elektronik adalah penting semasa mengulang kaji kerana ruang yang selesa akan dapat mengelakkan daripada terganggunya waktu tersebut.

“Saya sering kali terganggu dengan alat-alat dan gajet elektronik yang ada dan saya sering kali menyimpannya di bawah meja saya sebelum memulakan ulang kaji.”

Menurutnya lagi, sebagai seorang pelajar, mendapat waktu tidur yang cukup dan memakan makanan yang sihat adalah penting untuk memberikan tumpuan kepada proses pembelajaran dan mengelakkan daripada berasa tertekan.

Dayang Nurhidayah binti Salim.
Dayang Nurhidayah binti Salim.

Manakala itu, bagi Dayang Nurhidayah binti Salim, mata pelajaran Arts & Design adalah salah satu mata pelajaran yang beliau gemari dan menurutnya, setiap waktu peperiksaan hampir tiba, pengurusan masa adalah sangat penting.

Beliau yang menerima Anugerah Cambridge Outstanding Achievers dalam kategori Sepuluh Tertinggi di Dunia dan Tertinggi di Negara Brunei Darussalam bagi subjek Arts & Design Peringkat ‘A’ merancang untuk menyambung pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ‘Fine Arts’ di Malaysia.

Beliau sebelum ini telah menuntut di Pusat Tingkatan Enam Meragang.

ARTIKEL YANG SAMA