Pengurusan migrasi dan sempadan

Pengurusan migrasi dan sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Seramai 15 penguat kuasa undang-undang dari 10 buah negara ASEAN telah berjaya menamatkan Program Latihan Pengurusan Migrasi dan Sempadan EU-ASEAN ke-2 yang berlangsung selama enam hari di sebuah hotel di ibu negara dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup, semalam.

Hadir selaku tetamu majlis itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penguasa Polis Kanan Kevin Chiuh Ted Toon.

Turut hadir ialah Pembantu Pengarah INTERPOL Asia dan Selatan Pasifik, Shui Jiang.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Penguasa Polis Kanan Kevin berkata, pempelbagaian jenayah rentas sempadan yang tidak dapat dielakkan adalah disebabkan perdagangan menerusi portfolio-portfolio haram dengan mempergunakan kelemahan-kelemahan dalam peraturan dan penguatkuasaan di seluruh sempadan-sempadan kita.

“Sebab inilah, meningkatkan kerjasama antarabangsa menjadi sangat penting bagi melindungi negara-negara kita terutamanya daripada rangkaian nilai global haram ini,” tambahnya.

Gambar ramai penguat kuasa undang-undang yang menyertai program itu.
Gambar ramai penguat kuasa undang-undang yang menyertai program itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program anjuran INTERPOL dan Pasukan Polis Diraja Brunei itu merupakan kesinambungan dan pengembangan projek pilot Program Pengurusan Sempadan EU-ASEAN yang telah berjaya dilaksanakan pada Jun 2012.

Program ini dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU) dan dilaksanakan oleh INTERPOL, yang mana ia bermatlamat untuk mengukuhkan rangkaian penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama pada had transit serantau utama di negara-negara ASEAN.

Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pengiran Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid dalam ucapannya pada majlis pembukaan program, 15 Ogos lalu berkata, penjenayah-penjenayah mengeksploitasi peningkatan pergerakan manusia dan produk berikutan daripada globalisasi untuk meningkatkan aktiviti mereka.

“Untuk menangani isu-isu secara efektif, adalah perlu untuk meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan sempadan,” ujarnya sambil menambah, kursus latihan INTERPOL itu akan membantu usaha polis dan pihak berkuasa imigresen di rantau ini menutup peluang-peluang bagi penjenayah dan pengganas.

ARTIKEL YANG SAMA