Pengurusan nutrien penting untuk sistem pertanian

Pengurusan nutrien penting untuk sistem pertanian

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Mesyuarat Teknikal Kumpulan Pakar Pengurusan Tanah dan Nutrien diadakan buat kali pertama bermula hari ini di Ibu Pejabat, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, mesyuarat tiga hari itu memberi peluang perbincangan secara bersemuka bersama pakar rujuk mengenai masalah yang dihadapi dan cadangan pembaikan, bertukar maklumat, berkongsi pengalaman dan pengajaran yang diperolehi tentang tanah dan pengurusan nutrien bagi mempromosi sistem pertanian dan makanan yang mampan di peringkat kebangsaan.

Maklumat mengenai tanah dan pengurusan nutrien tempatan akan dikumpulkan dan dikemaskinikan ke kumpulan pakar ASEAN untuk digunakan bagi merumuskan garis panduan mengenai tanah dan pengurusan nutrien.

Ini bagi membolehkan negara-negara anggota ASEAN melaksanakan Rangka Kerja Keselamatan Makanan Bersepadu ASEAN (AIFS) dan Pelan Strategik Tindakan Keselamatan Makanan (SPA-FS) dengan memberi tumpuan kepada penggalakan pengeluaran makanan yang mampan di peringkat kebangsaan.

Skop garis panduan tersebut termasuk, jenis-jenis tanah yang terdapat di ASEAN, masalah tanah yang dihadapi, amalan pengurusan tanah dan tanaman yang baik, akta dan piawaian baja, pencemaran tanah dan isu-isu yang berbangkit.

Antara para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KPSSU yang terlibat dalam Mesyuarat Teknikal Kumpulan Pakar Pengurusan Tanah dan Nutrien.
Antara para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KPSSU yang terlibat dalam Mesyuarat Teknikal Kumpulan Pakar Pengurusan Tanah dan Nutrien.

Menurut kenyataan itu, projek ini dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN melalui Sekretariat ASEAN di bawah Kerjasama Pembangunan Jerman dalam tempoh empat tahun sehingga 2017.

Taklimat ringkas mengenai projek ini dan hasil mesyuarat pertama dan kedua peringkat ASEAN akan disampaikan oleh wakil daripada GIZ-ASEAN Sustainable Agrifood Systems (ASEAN-SAS), Bangkok, Soda Wannipa.

Maklumat mengenai tanah dan isu-isu lain seperti masalah tanah asid sulfat, hakisan tanah dan aktiviti pengurusan tanah dan nutrien yang sedang dikendalikan di negara ini akan disampaikan oleh pegawai dan pakar sumber dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Mesyuarat turut membincangkan mengenai amalan pengurusan tanah yang baik, halangan yang dihadapi mengenai kesuburan tanah, peraturan-peraturan dan piawaian yang sedia ada serta maklumat pasaran baja.

Turut hadir di mesyuarat itu ialah, para pegawai kanan dan kakitangan yang relevan dari jabatan berkenaan bagi berkongsi maklumat daripada perspektif penghasilan tanaman, di samping pengusaha progresif dan pengedar baja bagi bertukar-tukar pandangan serta cadangan dalam merangka rancangan pengurusan tanah dan nutrien bagi negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA