Pengurusan telus hindari rasuah

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dan risiko rasuah, Kementerian Perhubungan telah mengadakan sesi taklimat mengenai pengurusan kewangan dan integriti bagi para pengarah bahagian, ketua jabatan serta pihak berkuasa, para pegawai kanan dan kakitangannya, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan itu ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi.

Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Lembaga Tawaran Negara, Kementerian Kewangan, Dayang Nurul Izzah binti Haji Abdul Kahar dan Pemangku Penolong Pengarah Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Firdaus bin Abdullah Chong. Program taklimat berkenaan merupakan komitmen Kementerian Perhubungan untuk sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengungkapkan proses pengurusan kewangan dan integriti bagi memastikan semua pegawai dan kakitangan kementerian mengamalkan pengurusan kewangan dengan telus, cekap, akauntabiliti dan berkesan menurut peraturan dan prosedur kewangan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Selain itu taklimat kali ini juga bertujuan untuk memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa dipercayai dan cemerlang serta mempunyai tahap integriti yang tinggi.

Dengan adanya taklimat berkenaan diharap dapat menambah pengetahuan agar dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan seterusnya dapat dipraktikkan dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang, prosedur dan arahan serta mencapai objektif sebagai menzahirkan hasrat Kerajaan bagi memantapkan integriti dan pengamalan tadbir urus baik yang telah ditetapkan.