Pengurusan wakaf tunai tawar berpotensi besar

Pengurusan wakaf tunai tawar berpotensi besar

SINGAPURA, 7 April (Bernama) – Pengurusan wakaf tunai dijangka menjadi satu lagi pemacu pertumbuhan bagi perbankan Islam memandangkan ia menawarkan potensi besar yang belum diteroka terutamanya di Malaysia, kata Ketua Perbankan Islam Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd, Datuk Muzaffar Hisham.

Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan dan tadbir urus yang sewajarnya perlu diwujudkan sebelum institusi kewangan boleh meneroka sektor tersebut.

“Institusi kewangan Malaysia dikawal selia dengan baik oleh Bank Negara Malaysia dan kerajaan, oleh itu, ia perlu dibenarkan untuk meneroka sektor berkenaan yang menawarkan pertumbuhan bagi perbankan Islam,” katanya.

Beliau ditemui Bernama dan Mediacorp di luar Kongres Perbankan dan Pelaburan Islam Asia/Asia Barat 2016 yang berlangsung dua hari di sini, hari ini. Muzaffar merupakan antara penceramah di kongres tersebut.

Beliau berkata di Malaysia, badan-badan berkuasa telah melaksanakan usaha untuk memantapkan kedudukan dan kepelbagaian sistem kewangan Islam selama ini yang turut membangunkan sektor wakaf.

Bagaimanapun, Muzaffar berkata, sektor wakaf berkenaan boleh dikembangkan lagi melalui usaha dasar dan perundangan yang lebih menyokong.

ARTIKEL YANG SAMA